KUALA LUMPUR: Satu laporan polis akan dibuat terhadap seorang pemandu bas sekolah yang merakam video kanak-kanak dalam kenderaan tersebut hingga tular di media sosial.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi sebuah hantaran di X pada Khamis berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya dari Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) mengambil tindakan tegas itu kepada individu tersebut.
“Kami bersedia bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) negeri Johor bagi membantu siasatan.
“Perilaku tersebut tidak boleh diterima dan tidak seharusnya dinormalisasikan.
“Berkongsi gambar atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa adalah satu pelanggaran hak dan privasi kanak-kanak, selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001,” ujar beliau.
Terdahulu, tular beberapa video yang memaparkan seorang pemandu bas yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di TikTok, merakam beberapa murid sekolah perempuan yang dianggap pemandu bas tersebut sebagai ‘crush’ atau seseorang yang diminati atau disukai secara romantik.
Kesemua video yang dirakam sambil memandu itu memaparkan wajah murid-murid tersebut dengan jelas.
Video-video itu setakat ini sudah mempunyai sebanyak 10.5 juta tanda suka atau ‘like’.