GlobalBisnesEkonomiPelaburan

Wujud peluang pelaburan syarikat Malaysia di Arab Saudi, negara GCC – Tengku Zafrul

Tengku Zafrul optimistik dengan peluang syarikat Malaysia untuk melebarkan sayap ke negara-negara Teluk. – Gambar fail

RIYADH: Kedudukan ASEAN sebagai blok kelima terbesar dunia dengan populasi 680 juta penduduk mampu menyediakan pasaran yang luas untuk negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada masa sama optimistik dengan peluang syarikat Malaysia untuk melebarkan sayap ke negara-negara Teluk, lantas menggambarkan bahawa peluang yang bakal terhasil di GCC adalah bersifat dua hala.

Jelas Tengku Zafrul, wujud lebih banyak peluang untuk syarikat Malaysia melakukan pelaburan dari segi kepakaran dan modal di Arab Saudi.

“Kita juga di sini akan menyaksikan peranan syarikat-syarikat Malaysia yang akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan (untuk) mengeksport kepakaran dan modal untuk membantu pelaburan di Arab Saudi,” jelas Tengku Zafrul.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul turut optimistik dengan masa depan hubungan dagangan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rahmah Mesra bersama diaspora Malaysia di Arab Saudi.

Tengku Zafrul yang menyertai Delegasi Malaysia ke Arab Saudi diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijadual mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua perniagaan seperti syarikat minyak dan gas Arab Saudi, ARAMCO dan dana kekayaan berdaulat milik Arab Saudi, Public Investment Fund (PIF), pada Sabtu.

Arab Saudi merupakan salah satu rakan dagang yang penting buat Malaysia.

Pada 2021, nilai eksport Malaysia ke Arab Saudi berjumlah AS$1.38 bilion sementara eksport Arab Saudi ke Malaysia pula berjumlah AS$2.73 bilion.