Tempatan

Wanita maut dalam nahas kereta dan treler muatan sawit di Selama

Ketua operasi melaksanakan ‘size-up’ dan mengaplikasikan konsep SAVER, seterusnya mengarahkan anggota membuat kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidrolik hingga mangsa berjaya dikeluarkan. – Foto JBPM Perak

LARUT: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler bermuatan sawit di Jalan Taiping, Kampung Pondok Tanjong, Selama, malam tadi. Wanita berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.41 malam. Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama segera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 27 kilometer dari balai.

“Kemalangan melibatkan sebuah Proton Persona dan treler Hino yang membawa muatan sawit. Mangsa, seorang wanita Melayu berusia 32 tahun, tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Ketua operasi melakukan ‘size-up’ dan menggunakan konsep SAVER untuk memimpin kerja-kerja penyelamatan, termasuk penggunaan peralatan hidrolik untuk mengeluarkan mangsa. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang turut dibantu anggota dari BBP Batu Kurau itu diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Hafidz Md Rahim dan selesai sepenuhnya pada jam 10.50 malam.