PolitikTempatan

‘UMNO perlu betulkan sentimen rakyat’

Apabila parti Melayu tetapi orang Melayu tidak sokong mesti ada sesuatu yang tidak kena, kata Mohamed Nizham. – Gambar hiasan

SHAH ALAM: UMNO perlu berusaha dan mencari jalan bagi membetulkan sentimen masyarakat terhadap parti itu yang sering didakwa mengamalkan rasuah, kotor dan gila kuasa sekiranya mahu meneruskan perjuangan.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, dulu UMNO merupakan parti tunjang kepada kerajaan namun naratif itu menyebabkan prestasinya merosot terutama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15.

Menurutnya, jika rakyat terus menolak UMNO tidak mustahil daripada 30 kerusi akan jadi 20, silap-silap empat atau tiga dan akhirnya terkubur.

“Paling penting naratif mesti tepat dan ke arah landasan betul supaya mereka faham bahawa UMNO sekarang telah membuat satu perubahan bukannya parti lama.

“Kita bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), kalau kita tengok balik orang Melayu yang sokong BN (Barisan Nasional) hanya 33 peratus.

“Apabila parti Melayu tetapi orang Melayu tidak sokong mesti ada sesuatu yang tidak kena,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Sinar Live bertajuk ‘PRN: Zahid mampu kembalikan maruah UMNO?’

Program yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian itu dikendalikan Hazwan Moktar.

Ditanya pandangan beliau berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, Mohamed Nizham berkata, perwakilan telah membuat keputusan.

“Bukan soal Datuk Seri Dr Ahmad Zahid (Hamidi) atau Datuk Seri Mohamad Hasan tetapi isu demokrasi sepatutnya disuburkan dalam parti.

“Melalui pertandingan, maka tiada perdebatan berlaku, sekali gus memperlihatkan UMNO berada di landasannya semula,” ujarnya.

Sumber : Sinar Harian