Tempatan

TUN DR SITI HASMAH SELAMAT DISEMADIKAN DENGAN PENGHORMATAN NEGARA

Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selamat disemadikan di Pusara Negara, Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya pada petang Ahad. Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dikebumikan sekitar jam 6.38 petang menerusi Istiadat Pengebumian Bertaraf Pembesar Negara sebagai penghormatan terhadap jasa dan sumbangan besar beliau kepada masyarakat serta negara.

Suasana hiba menyelubungi kawasan perkuburan apabila ribuan ahli keluarga, kenalan dan orang ramai hadir untuk memberikan penghormatan terakhir. Istiadat Mengusung Jenazah Taraf Persekutuan diketuai Kapten Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat bersama lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Bacaan doa serta talkin dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra, Muhamad Zakuwa Rodzali, sebaik sahaja proses pengebumian selesai dilaksanakan. Istiadat kemudian diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang daripada pihak kerajaan kepada wakil keluarga sebagai lambang penghormatan negara, yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Abd. Shukor Mahmood.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah turut berkenan berangkat menghadiri istiadat tersebut. Hadir sama ialah anak-anak Allahyarhamah termasuk Datin Paduka Marina Mahathir, Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, selain wakil kedutaan asing serta orang ramai yang datang memberikan penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarhamah sebelum itu dibawa dari Institut Jantung Negara ke kediaman keluarga di Mines Resort City, Seri Kembangan, sebelum dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk urusan pengurusan jenazah. Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun sekitar jam 9.20 pagi dan meninggalkan tujuh orang anak serta legasi besar sebagai tokoh perubatan yang banyak menyumbang kepada perkembangan kesihatan ibu dan anak di Malaysia.