Global

Trump ‘ketinggalan’ di belakang Harris

Majoriti keputusan kaji selidik mendapati prestasi memberangsangkan Harris telah melonjakkan sokongan terhadap beliau iaitu 2.5 mata peratusan pada hari debat berlangsung kepada 3.3 mata peratusan kira-kira seminggu selepas itu. – Gambar Reuters

WASHINGTON: Debaran semakin memuncak menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang akan diadakan kurang dari sebulan lagi pada 5 November. Pemilihan yang pada asalnya dijangka mempertemukan Presiden Joe Biden dan bekas Presiden Donald Trump, berubah apabila Biden menarik diri dan memilih Naib Presiden Kamala Harris sebagai calon Parti Demokrat untuk bertanding menentang Trump, bilionair yang sering mencetuskan kontroversi.

Kini, persoalannya adalah sama ada rakyat Amerika akan memilih presiden wanita pertama atau adakah Trump akan berjaya merebut kembali jawatan Presiden untuk penggal kedua. Tinjauan kebangsaan terbaru, sejak Harris yang berusia 59 tahun mengumumkan pencalonannya pada Julai, menunjukkan bahawa beliau mendahului Trump, 78.

Kedua-dua calon telah bertemu dalam debat pertama pada 10 September, yang menarik lebih 67 juta penonton. Trump, bagaimanapun, enggan menyertai pusingan kedua selepas diasak hebat oleh Harris, menyebabkan beliau menjadi bahan jenaka penyokong lawannya.

Hasil kajian menunjukkan prestasi cemerlang Harris semasa debat pertama telah meningkatkan sokongan terhadapnya, dengan kenaikan 2.5 mata peratusan pada hari debat berlangsung, yang terus meningkat kepada 3.3 mata peratusan seminggu kemudian. Sokongan terhadap Trump juga meningkat sebelum debat, namun menurun setengah mata peratusan pada tempoh yang sama, sementara Harris terus memimpin.

Persaingan sengit berlaku di tujuh negeri utama, yang dianggap sebagai ‘medan pertempuran’ penting, kerana perbezaan sokongan hanya sekitar satu atau dua mata peratusan. Antaranya termasuk Pennsylvania, yang mempunyai bilangan pengundi terbesar dan berpotensi memberikan kemenangan dengan 270 undi elektoral yang diperlukan.

Persaingan Sengit

Sejak Harris diumumkan sebagai pengganti Biden, beliau ketinggalan sekitar lima mata peratusan di belakang Trump secara purata di tujuh negeri tersebut. Namun, berdasarkan trend sokongan sejak beliau menyertai perlumbaan ke Rumah Putih, kedudukannya semakin kukuh sepanjang tiga bulan terakhir. Harris kini mendahului Trump di Michigan, Pennsylvania, dan Wisconsin sejak awal Ogos, walaupun dengan margin yang kecil.

Ketiga-tiga negeri ini dahulunya merupakan kubu kuat Parti Demokrat sebelum Trump berjaya memenanginya pada Pilihan Raya Presiden AS 2016, menjadikan negeri-negeri tersebut sebagai ‘lautan merah’. Pada tahun 2020, Biden merampas kembali negeri-negeri tersebut, dan kini kemampuan Harris akan diuji sama ada beliau dapat mengekalkan kemenangan Parti Demokrat pada pilihan raya tahun ini.

Menjelang fasa akhir kempen, retorik antara Harris dan Trump semakin hangat, terutamanya di platform media, dalam usaha mereka menarik undi rakyat Amerika yang masih belum membuat keputusan atau berada di atas pagar. Dalam satu wawancara baru-baru ini, Harris mendakwa Trump secara terang-terangan mengagumi diktator dan pemimpin autoritarian. “Beliau pernah mengatakan mahu menjadi diktator pada hari pertama jika dilantik semula sebagai Presiden,” katanya, sambil menyatakan lebih 200 bekas anggota Parti Republikan, termasuk bekas Presiden George W. Bush dan George H. W. Bush, menyokong pencalonannya.

Di pihak lain, Trump menggunakan bahasa yang lebih agresif, menggelar Harris sebagai “individu dengan IQ sangat rendah,” serta mengkritik respons Naib Presiden itu terhadap mangsa Hurikan Helene, meskipun terdapat bukti Harris telah melawat kawasan bencana tersebut pada minggu lalu.