Tempatan

Timbalan Perdana Menteri Sambut Armada Laut Turkiye: Tanda Hubungan Erat Dua Negara

Ahmad Zahid berjabat tangan dengan anggota Armada Laut Turkiye. Gambar: Facebook Ahmad Zahid Hamidi.

Kehadiran Armada Laut Turkiye dalam lawatan pertama mereka ke Malaysia selepas hampir satu dekad menggambarkan hubungan erat antara Malaysia dan Turkiye, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang melawat kapal korvet TCG Kinaliada milik Tentera Laut Turkiye di Pelabuhan Klang menyatakan bahawa hubungan rapat antara kedua-dua negara telah menghasilkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk industri pertahanan.

Sebagai contoh, beliau menyebut bahawa penubuhan TUSAS Malaysia Sdn Bhd sebuah anak syarikat milik penuh Turkish Aerospace Industries Inc di Cyberjaya telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih daripada 100 jurutera Malaysia untuk berkhidmat dan memperoleh kepakaran dalam sektor ketenteraan.

Menurutnya, nilai dagangan antara Malaysia dan Turkiye telah mencapai AS$4.46 bilion dengan potensi pertumbuhan yang besar.

“Saya yakin hubungan erat yang terjalin ini akan terus membawa kelebihan yang besar di antara kedua-dua negara. Semoga hubungan yang terjalin ini akan terus diperkasa dan menjadi kunci kepada kemakmuran bersama,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.

Kapal korvet TCG Kinaliada akan berlabuh di Malaysia selama tiga hari bermula semalam sebelum meneruskan perjalanan ke Jepun sempena ulang tahun ke-100 hubungan diplomatik Turkiye-Jepun.