Sukan

TIERNEY JADI WIRA, HARIMAU MALAYA AKHIRI BADI 12 TAHUN MENENTANG VIETNAM

Harimau Malaya menamatkan penantian selama 12 tahun untuk menewaskan Vietnam selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Keputusan itu membolehkan skuad kendalian ketua jurulatih sementara Tan Cheng Hoe menutup kempen kejohanan dengan pingat gangsa dan rekod tanpa kekalahan.

Vietnam tampil lebih mengancam pada babak pertama menerusi beberapa gerakan serangan serta hantaran lintang tinggi yang memaksa barisan pertahanan negara bekerja keras. Malaysia hampir membuka jaringan pada minit ke-39 apabila Bergson da Silva melepasi seorang pertahanan lawan, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Vietnam, Patrik Le Giang.

Kebuntuan akhirnya dipecahkan pada minit ke-62 menerusi pemain gantian, Fergus Tierney, yang dibawa masuk menggantikan Bergson. Selepas menerima hantaran Manuel Hidalgo, Tierney melakukan pusingan pantas sebelum melepaskan rembatan deras yang menewaskan Le Giang untuk memberikan Malaysia kelebihan 1-0.

Vietnam meningkatkan tekanan dalam usaha mencari gol penyamaan, namun penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi bersama benteng pertahanan negara terus berdisiplin sehingga wisel penamat. Syihan turut menafikan percubaan berbahaya Le Pham Thanh Long pada penghujung permainan, sekali gus memastikan Malaysia menamatkan keseluruhan kejohanan tanpa dibolosi.

Kemenangan tersebut menjadi yang pertama buat Malaysia ke atas Vietnam sejak aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2014. Harimau Malaya menutup kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga selepas sebelum itu menewaskan Bangladesh 3-0, seri tanpa jaringan dengan Indonesia dan membelasah Singapura 6-0 dalam peringkat kumpulan sebelum terlepas tempat ke final berdasarkan jumlah jaringan.