
KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara Lee Zii Jia mengalami kekalahan mengejut kepada Alex Lanier dari Perancis, sekali gus tersingkir dari Terbuka Jepun 2024 di Yokohama hari ini. Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 dan pilihan keenam kejohanan itu kalah 18-21, 13-21 kepada pemain nombor 29 dunia dalam masa 41 minit di Arena Yokohama.
Sementara itu, dua pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, berjaya melangkah ke pusingan kedua seperti yang dijangkakan. Sze Fei-Nur Izzuddin, pasangan pilihan kelapan kejohanan, mengalahkan pasangan tuan rumah Kazuki Shibata-Naoki Yamada dengan keputusan 21-13, 21-13, dan akan bertemu pasangan Liu Huang Keng-Yang Po Han yang turut layak selepas menewaskan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-13, 21-17.
Hon Jian-Muhammad Haikal menunjukkan prestasi cemerlang dengan bangkit selepas tewas set pertama untuk mengalahkan pasangan Jerman Bjaerne Geiss-Jan Colin Voelker 12-21, 21-11, 21-16 dalam masa 55 minit. Mereka akan berhadapan dengan pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang mengalahkan pasangan China Xie Hao Nan-Zeng Wei Han dengan keputusan 22-20, 13-21, 21-14.
Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, gagal melangkah ke pusingan seterusnya selepas tewas kepada pemain pilihan ketiga kejohanan dari China, Wang Zhi Yi, dengan keputusan 18-21, 10-21.
