Tempatan

Seruan Tegas: Mahathir Mohamad Minta Syarikat Pembuat Senjata Zionis Tinggalkan Malaysia

Mantan Perdana Menteri Malaysia (Tun Mahathir)

Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru Kementerian Pertahanan untuk bertindak tegas dengan segera dan mengarahkan syarikat pembuat senjata yang berhubungan dengan Zionis untuk meninggalkan Malaysia. Beliau menyatakan bahawa walaupun syarikat-syarikat tersebut terlibat dalam Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) atas permintaan Kementerian Pertahanan, kehadiran mereka merupakan suatu kesalahan yang besar dan menghina perjuangan rakyat Palestin.

“Memang benar mereka pernah hadir di dalam anjuran-anjuran terdahulu tetapi keadaan kali ini amat luar biasa dan genosid Zionis terhadap Palestin begitu kejam tanpa sedikit perikemanusiaan. Membenar syarikat-syarikat sedemikian, seolah-olah memperolok dan mempersenda segala usaha kita menentang kekejaman rejim Tel Aviv. Kita seolah-olah bersekongkol dengan mereka menumpah darah rakyat Palestin termasuk bayi, kanak-kanak dan orang awam yang lain,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah sebelum ini menekankan perlunya kerajaan mengharamkan penyertaan dua syarikat iaitu Lockheed Martin dan BAE yang bersekongkol dengan Israel, daripada menjadi penaja platinum Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Kuala Lumpur. Beliau mengatakan bahawa syarikat-syarikat tersebut menyokong Israel dengan membekalkan senjata dan peralatan, terutamanya di Gaza. Dr. Mahathir menambah bahawa syarikat-syarikat itu perlu difahamkan bahawa Malaysia tidak mempunyai tempat untuk mereka yang menyokong atau bersekongkol dengan Israel.