Israel melancarkan serangan besar-besaran di pelbagai lokasi di Gaza pada hari ketiga Aidiladha, yang mengakibatkan kematian dan kecederaan ramai penduduk Palestin, menurut sumber tempatan.
Pasukan penyelamat Palestin melaporkan serangan udara di Rafah yang meragut satu nyawa dan mencederakan ramai lagi, dilaporkan oleh Agensi Anadolu.
Menurut saksi-saksi, tentera Israel mengebom berpuluh-puluh rumah kediaman dan unit artileri mereka terus menyerang kawasan kejiranan sejak awal Selasa.
Sementara itu, Hospital Martir Al-Aqsa di Deir al-Balah melaporkan 13 mangsa maut dan ramai lagi cedera terutama wanita dan kanak-kanak.
Menurut sumber Hospital Al-Ahli Baptist, serangan dron Israel di Jalan Sahaba di Gaza pula membunuh dua rakyat Palestin manakala seorang lagi cedera.
Hospital Gaza Eropah pula melaporkan dua rakyat Palestin maut akibat pengeboman di bandar Khuza’a di timur Khan Younis.
Menurut saksi, rejim Israel terus menyerang kebanyakan kawasan di Rafah, terutamanya di kejiranan Tel al-Sultan di bahagian barat bandar itu sejak pagi Selasa.
Sejak 7 Oktober 2023, serangan Israel ke atas Gaza telah mengakibatkan kematian 37,372 orang dan mencederakan 85,452 yang lain.
Sumber: BERNAMA