Global

SEMAKAN DAPATI SYARIKAT SAWIT MALAYSIA TIDAK TERLIBAT PEMBAKARAN TERBUKA

SUBANG JAYA, 9 Julai -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Perasmian CelcomDigi Al Experience Centre di CelcomDigi Hub, Subang Jaya hari ini.-- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
– Foto Bernama –

Tiada syarikat perladangan kelapa sawit Malaysia didapati terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka di Indonesia berdasarkan semakan terhadap syarikat tempatan yang memiliki konsesi sawit di negara berkenaan. Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa kebanyakan kebakaran yang dilaporkan berlaku di luar kawasan konsesi milik syarikat Malaysia.

Bagaimanapun, kerajaan mengambil perhatian mengenai kebakaran membabitkan kawasan ladang Genting Plantations seluas lima hektar di Indonesia. Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada api yang merebak dari kawasan luar sebelum berjaya dipadamkan, sekali gus menunjukkan pentingnya pemantauan berterusan bagi mengelakkan kebakaran berdekatan merebak ke kawasan konsesi syarikat Malaysia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad turut diminta mengadakan sesi libat urus bersama syarikat perladangan Malaysia yang menjalankan operasi di Indonesia. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga akan meneruskan perbincangan khusus dengan syarikat terbabit bagi memastikan operasi mereka tidak menyumbang kepada pembakaran terbuka serta pencemaran jerebu rentas sempadan.

Fahmi memaklumkan satu mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri akan diadakan pada Isnin bagi membincangkan isu jerebu dan langkah penyelarasan antara kementerian. Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan telah menyuarakan keperluan untuk memperkemas tindakan berkaitan kesihatan awam, pembukaan sekolah dan tempat pembelajaran serta pelaksanaan aktiviti sukan di luar bangunan.

Kerajaan ketika ini menggunakan garis panduan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi menguruskan risiko dan kesan kemerosotan kualiti udara. Maklumat lanjut mengenai langkah susulan dijangka diumumkan selepas mesyuarat tersebut, khususnya berkaitan tindakan yang perlu dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkenaan bagi melindungi kesihatan serta keselamatan orang ramai.