EkonomiTempatanWORLD CUP 2026

HARGA PETROL DAN DIESEL TANPA SUBSIDI TURUN MULAI 15 OKTOBER

Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing diturunkan sebanyak lima sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi mencatatkan penurunan 10 sen seliter bagi tempoh 15 hingga 21 Oktober 2026. Kementerian Kewangan memaklumkan pelarasan tersebut dibuat berdasarkan perkembangan harga pasaran minyak semasa serta keadaan bekalan produk petroleum bertapis di peringkat serantau.

Berikutan pelarasan itu, harga RON97 tanpa subsidi ditetapkan pada RM5.10 seliter, sementara RON95 tanpa subsidi dijual pada RM4.62 seliter. Harga diesel tanpa subsidi pula diturunkan kepada RM5.17 seliter, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada pengguna dan perniagaan yang terkesan dengan peningkatan kos bahan api sejak kebelakangan ini.

Menurut Kementerian Kewangan, harga minyak mentah Brent masih kekal melebihi AS$100 setong, namun bekalan petroleum bertapis di pasaran serantau mula menunjukkan tanda pemulihan. China dilaporkan membenarkan semula eksport bahan api bagi Oktober, manakala Korea Selatan terus membekalkan produk petroleum bertapis ke pasaran serantau sehingga membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan.

Penerima BUDI MADANI RON95 atau BUDI95 terus menikmati harga RM1.99 seliter, berbanding harga tanpa subsidi RM4.62 seliter. Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.63 bagi setiap liter atau 57 peratus daripada harga pasaran, manakala penerima BUDI MADANI Diesel kekal membayar RM2.10 seliter dengan subsidi RM3.07 seliter, bersamaan 59 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi.

Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan bahan api negara masih mencukupi, namun ketidaktentuan harga dijangka berterusan susulan konflik di Asia Barat dan risiko gangguan bekalan petroleum. Dalam Belanjawan 2027, kerajaan dijangka memperuntukkan RM40 bilion bagi subsidi bahan api, di samping menyeru rakyat merancang perjalanan secara lebih cekap dan mengurangkan penggunaan yang tidak diperlukan.