PETALING JAYA: Juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor FC memulakan kempen Piala Malaysia dengan bergaya selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan PDRM FC 4-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, malam tadi.
Pada pertembungan itu, PDRM terlebih dahulu mengejutkan skuad Gergasi Merah apabila membuka jaringan menerusi penyerang Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak pada minit ke-25 selepas mudah menolak masuk bola percubaan rakan sepasukan, Bruno Suzuki yang terkena palang.
ADVERTISING
Gol sulung perlawanan itu ternyata membakar semangat anak buah Eddy Gapil@Edwin apabila The Cops terus menguasai separuh masa pertama yang menyaksikan Selangor di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe buntu dalam mencari jaringan penyamaan sehingga rehat.
Bersambung babak kedua, Selangor tampil dengan permainan lebih garang dan berdisiplin sebelum berjaya menyamakan kedudukan hasil penyudah penyerang import Ayron Del Valle Rodriguez pada minit ke-57 sebelum beliau sekali lagi meledak gol enam minit kemudian menerusi sepakan gunting dari jarak dekat.
Pemain pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar dan pemain gantian Yohandry Jose Orozco Cujia masing-masing tidak ketinggalan mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-74 dan masa kecederaan separuh masa kedua untuk mengesahkan kemenangan bergaya pasukan.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor berjaya membalas dendam kekalahan 0-1 pada pertemuan Liga Super Jun lepas, malah membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di venue sama 19 Ogos ini.
Turut bangkit daripada ketinggalan adalah Perak FC yang menjaringkan tiga gol pada separuh masa kedua untuk menewaskan Kedah Darul Aman FC 3-1 di Stadium Perak, Ipoh.
Pasukan tuan rumah terlebih dahulu menerima kejutan apabila Kedah yang dibimbing Nafuzi Zain memperoleh gol pembukaan seawal minit pertama menerusi Manuel Ott yang menanduk masuk sepakan penjuru dan keputusan 0-1 kekal sehingga tamat 45 minit pertama.
Episod kebangkitan skuad The Bos Gaurus bermula dengan jaringan penalti Luciano Guaycochea pada minit ke-48 selepas bola terkena tangan Bojan Ciger sebelum penyokong tuan rumah tersenyum ceria selepas Luka Milunovic berjaya mengatasi benteng Kedah untuk gol kedua Perak pada minit ke-55.
Kedah terus dirundung malang apabila Rodney Celvin dilayangkan kad merah pada minit ke-61 susulan kekasaran ke atas Seo Seonung dan situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya Perak untuk mengawal permainan sehingga berjaya meledak gol ketiga menerusi pemain gantian Hakimi Mat Isa pada minit ke-86.
Dalam pada itu, Juara 2021 Kuala Lumpur City FC (KL City) membawa bekalan selesa menjelang aksi kedua selepas membenam Penang FC 4-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Empat gol KL City masing-masing dijaringkan Tchetche Kipre pada minit keempat dan ke-26 diikuti Zhafri Yahya pada minit ke-31 sebelum Romel Morales menjaringkan gol tunggal babak kedua pada minit ke-84.