Pendidikan

SEKOLAH DI JOHOR DITUTUP JIKA BACAAN IPU MELEBIHI 200

Sekolah di Johor hanya akan ditutup sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi paras 200, selaras dengan prosedur operasi standard yang ditetapkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah perlu sentiasa mengemas kini bacaan IPU bagi membolehkan maklumat disampaikan segera kepada ibu bapa, pelajar serta guru.

Setakat pagi 7 September, beberapa daerah merekodkan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu Segamat dan Batu Pahat masing-masing 157, diikuti Tangkak 153 serta Kluang 151.

Kerajaan negeri dan JPN turut memantau aktiviti di luar bilik darjah bagi melindungi keselamatan murid sepanjang cuaca panas dan jerebu. Aktiviti berkenaan akan dikurangkan sekiranya keadaan semasa memerlukannya.