
Malaysia dan Thailand bersetuju menyelaraskan kawalan keselamatan serta pembinaan pagar sempadan bagi mengelakkan pertindihan projek dan memastikan peruntukan kedua-dua negara digunakan secara optimum.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pagar akan dibina secara tersusun dengan Thailand menumpukan kawasan yang masih belum mempunyai kemudahan tersebut. Langkah itu turut bertujuan membanteras kegiatan penyeludupan yang merugikan kedua-dua negara.
Kedua-dua pihak juga bersetuju mempercepatkan projek tebatan banjir di Lembangan Sungai Golok dan Rantau Panjang. Projek itu melibatkan kerja mendalamkan sungai, mengorek pasir serta membina benteng bagi melancarkan aliran air sehingga ke muara.
Persetujuan dicapai menerusi pertemuan Mohamad dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow. Kerjasama tersebut diharap dapat mengurangkan kesan banjir bermusim terhadap penduduk di sempadan Kelantan dan Narathiwat.




