Tempatan

Sebanyak 250 jenis pekerjaan dijangka akan diwujudkan selepas projek empangan Nenggiri

Muhammad Nazri berkata, peluang pekerjaan itu disediakan bertujuan untuk membantu mengoperasikan empangan Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan. – Gambar Astro AWANI

NENGGIRI: Sebanyak 250 peluang pekerjaan akan dibuka kepada penduduk tempatan dan masyarakat Orang Asli setelah pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan selesai, yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2027.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Ir Muhammad Nazri Pazil, menjelaskan bahawa peluang pekerjaan ini disediakan untuk membantu mengoperasikan stesen tersebut, meliputi bidang kejuruteraan, pengurusan, juruteknik, serta pekerja separuh mahir dan mahir.

“Semasa pembinaan, kira-kira 2,000 pekerja diperlukan. Setelah projek ini siap dan memasuki fasa operasi, kami akan memerlukan sekitar 200 hingga 250 tenaga kerja. Jumlah ini diperlukan untuk mengoperasikan stesen dalam pelbagai bidang seperti jurutera, pengurusan, juruteknik, pekerja separuh mahir, dan tidak mahir. Pada setiap peringkat, kami akan mengambil mereka yang sesuai sebagai pekerja,” katanya kepada media selepas memberikan taklimat mengenai Projek Hidroelektrik Nenggiri di pejabat tapak bina projek itu pada Selasa.

Muhammad Nazri juga menekankan bahawa masyarakat Orang Asli yang terlibat dalam pemindahan penempatan semasa projek ini berlangsung, khususnya mereka yang tidak mempunyai kelayakan akademik atau kemahiran teknikal, turut berpeluang mengisi jawatan sokongan.

Mengenai penempatan semula Orang Asli, beliau menjelaskan bahawa hanya tiga kampung daripada 118 kampung yang terkesan secara langsung oleh projek ini, iaitu Pos Tohoi, Pos Pulat, dan Kampung Kuala Wias. Penduduk di kawasan terlibat masih berada di tempat asal mereka, namun proses pemindahan dijangka bermula pada pertengahan tahun 2026.

“Pada masa ini, Orang Asli yang terlibat masih berada di kampung asal mereka, dan kami menjangkakan mereka akan dipindahkan sekitar pertengahan 2026 sebelum kami mula menaikkan paras air di Empangan Nenggiri. Setakat ini, belum ada impak yang ketara. Kami sudah menyediakan penempatan baharu untuk mereka, dan kini proses pembinaan penempatan tersebut telah mencapai 40 peratus dengan beberapa rumah contoh sudah siap. Insya-Allah, mereka boleh melihat sendiri penempatan baharu itu,” jelasnya.

Projek Hidroelektrik Nenggiri ini bertujuan menjana tenaga elektrik melalui tenaga air dan hidro, dengan TNB melaksanakan projek ini sebagai sebahagian daripada strategi kerajaan untuk meningkatkan penjanaan tenaga dari sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB).

Projek ini dijangka memberi impak positif kepada sosio-ekonomi negeri Kelantan, termasuk menjana ekonomi setempat dalam industri pelancongan, perikanan, dan pertanian, serta membantu mengatasi masalah banjir yang sering melanda negeri tersebut. Setakat Jun 2024, kemajuan projek telah mencapai hampir 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2027.