KUALA LUMPUR: Malaysia menjangkakan untuk melihat sekurang-kurangnya separuh daripada pembiayaan baharu oleh bank tempatan sejajar dengan aktiviti sokongan iklim atau peralihan iklim (mesra alam sekitar) menjelang tahun 2026, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata pada masa ini wujud tumpuan yang semakin meningkat dan tindakan berkaitan iklim yang konkrit diambil oleh institusi kewangan di Malaysia dan setakat ini, komitmen kewangan industri berjumlah lebih AS$43 bilion (AS$1=RM4.67) untuk tujuan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Justeru, Malaysia tidak boleh melakukannya secara bersendirian. Seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), kerajaan menjangkakan bahawa Malaysia akan memerlukan pelaburan kira-kira AS$280 bilion menjelang 2050 untuk memenuhi keperluan peralihan tenaga di Malaysia,” katanya.
Abdul Rasheed berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian di Hari Kewangan Iklim Malaysia pada Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Emiriah Arab Bersatu (UAE), hari ini.
Beliau berkata adalah diharapkan sektor kewangan Malaysia memainkan peranan penting dan bertindak aktif dalam menggerakkan modal bagi menangani keperluan pembiayaan iklim dunia yang besar yang dianggarkan berjumlah AS$275 trilion menjelang 2050.
“Visi kami untuk Malaysia untuk memudahkan dan memangkin aliran kewangan hijau untuk penambahbaikan planet ini sejajar rapat dengan aspirasi kami untuk menjadi hab tenaga boleh diperbaharui bagi ASEAN serta berfungsi sebagai pintu masuk antarabangsa untuk kewangan Islam.
“Kami melihat peluang untuk penyelesaian yang lebih inovatif seperti kewangan gabungan untuk menyokong peralihan yang adil dan teratur. Sebagai contoh, dengan menggabungkan pembiayaan konsesi dan pembiayaan komersil, pembiayaan gabungan boleh membantu meningkatkan kebolehbankkan projek hijau dan peralihan berisiko tinggi,” katanya.
Abdul Rasheed berkata pembiayaan secara gabungan juga boleh mengurangkan kos peralihan terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Sebagai sebuah negara yang diberkati dengan biodiversiti yang tiada tandingan, pemuliharaan alam semula jadi amat penting bagi Malaysia. Ekosistem kita yang kaya bukan sahaja menyumbang kepada kehidupan global tetapi juga membentuk tulang belakang ekonomi kita dan mata pencarian kepada ramai rakyat Malaysia,” katanya.
Dengan menjaga khazanah semula jadi, Abdul Rasheed berkata Malaysia akan memastikan kemampanan sumber penting, menyokong pertanian, perhutanan dan perikanan.
“Sebagai penjaga yang bertanggungjawab terhadap tanah yang bernilai tinggi ini, pemuliharaan alam semula jadi bukan sekadar tanggungjawab tetapi laluan kepada masa depan yang mampan dan berdaya tahan untuk Malaysia dan lain-lain yang berkaitan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata risiko berkaitan iklim dan alam semula jadi saling berkait rapat, di mana perubahan iklim, didorong oleh faktor seperti pelepasan dan penebangan hutan, memburukkan lagi kejadian cuaca ekstrem dan kehilangan biodiversiti.
Perubahan ini, seterusnya meningkatkan risiko bencana yang lebih kerap, perubahan dalam corak penyakit, dan cabaran kepada keselamatan makanan dan air.
Menyedari kesalinghubungan ini, Abdul Rasheed berkata BNM telah dan akan terus giat membina pengetahuan dan pemahamannya mengenai alam semula jadi dan peranan sektor kewangan dalam pemuliharaan alam semula jadi.
“Izinkan saya mengulangi bahawa Malaysia mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi untuk melaksanakan komitmen kami untuk memerangi perubahan iklim.
“Bagi pihaknya, BNM komited sepenuhnya untuk menyediakan persekitaran dasar yang kukuh dan memudahkan yang membolehkan inovasi memenuhi keperluan pembiayaan yang besar untuk pengurangan dan penyesuaian risiko iklim sambil mengukuhkan amalan pengurusan risiko iklim dalam sektor kewangan,” kata Abdul Rasheed.
Menurutnya, Malaysia juga menyedari bahawa walaupun cabaran iklim memerlukan tindakan segera oleh semua, adalah sama pentingnya bagi dunia untuk melakarkan laluan ke hadapan dengan cara yang adil dan teratur, ini bermakna berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia terutamanya bagi mereka yang paling terjejas akibat perubahan iklim dan peralihan.
“Hanya dengan mempromosikan hasil positif yang memberi manfaat kepada semua orang dan dengan meminimumkan kesan negatif dan akibat yang tidak diingini seperti pengecualian kewangan, kami boleh mendapatkan komitmen yang berpanjangan dan bermakna daripada semua.
“Kami akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam perbualan global dan mewakili perspektif pasaran baharu muncul mengenai perkembangan dan cabaran kewangan yang mampan untuk menyokong pendekatan global yang lebih inklusif untuk memerangi perubahan iklim,” katanya.