Sukan

ROMEL MORALES BAKAL PERKUAT TFC BERDEPAN SELANGOR FC

Penyerang naturalisasi negara, Romel Morales dijangka menjadi antara taruhan Terengganu FC (TFC) ketika menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Ketua Jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Zain berkata, pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sudah pulih daripada kecederaan ringan di betis. Kecederaan tersebut menyebabkan Morales terlepas aksi pembukaan menentang Melaka FC.

Kemenangan 3-0 ke atas Melaka memberi suntikan semangat kepada skuad Penyu, namun Nafuzi menjangkakan cabaran lebih sukar daripada Selangor. Pemain TFC dituntut meningkatkan komitmen, fokus dan disiplin serta mengelakkan kesilapan mudah bagi memastikan tiga mata kekal di laman sendiri.

Penyerang import TFC, Gervane Kastaneer yang menjaringkan dua gol ketika menewaskan Melaka turut berazam meneruskan rentak jaringannya. Meskipun mengakui Selangor antara pasukan pilihan musim ini, pemain Curacao itu yakin TFC memiliki kualiti untuk memberikan tentangan sengit.