Kerajaan bersedia untuk menghadapi reaksi awam mengenai komitmennya untuk menarik semula subsidi petrol mulai pertengahan 2025.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan sistem dua harga di mana 15 peratus golongan kaya (T15) akan membayar kadar pasaran untuk petrol RON95 sementara golongan lain akan mengikuti harga subsidi yang sedia ada.
“Dijangka kerajaan mungkin dapat jimat sebanyak RM8 bilion setahun walaupun ia juga boleh mencetuskan kenaikan harga pada pusingan kedua dan membawa kepada lonjakan inflasi.
“Kami bersedia menghadapi cabaran yang akan datang walaupun kerajaan telah meluangkan masa untuk mempersiapkan rakyat dan menjelaskan alasan berkenaan reformasi subsidi.
“Ini adalah keputusan yang mempengaruhi kehidupan semua orang,” katanya dalam temu bual dengan televisyen Bloomberg pada Ahad.
Sebelumnya, kerajaan merancang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa penjimatan yang diperoleh daripada penyasaran subsidi bahan api akan digunakan untuk kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Dalam hal ini, Rafizi berharap agar tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan pengurusan yang baik supaya ia dapat dilaksanakan dengan mampan.
“Ini adalah kebimbangan terbesar kerajaan walaupun hanya sebahagian kecil daripada populasi akan terdedah dengan harga RON95 yang lebih tinggi.
“Adalah menjadi kelaziman ekonomi Malaysia jika berlaku kenaikan harga bahan api, kita akan melihat segalanya turut meningkat.
“Simulasinya adalah jika ada kenaikan harga, kami perlu melalui sekurang-kurangnya kitaran 12 bulan sebelum inflasi stabil semula kepada sekitar dua peratus,” jelasnya.
Kerajaan menjangkakan kadar inflasi akan purata antara dua hingga 3.5 peratus pada tahun hadapan berbanding 1.5 hingga 2.5 peratus pada tahun 2024.
Anggaran 3.5 peratus tersebut dianggap sebagai ‘senario terburuk’ yang diharapkan dapat dielakkan jika negara melaksanakan sistem harga dua peringkat untuk RON95.
“Pilihan lain adalah untuk mengapungkan harga RON95 seperti dilakukan dengan diesel pada bulan Jun dan memberikan bantuan tunai kepada mereka yang memerlukan untuk mengurangkan impak kos lebih tinggi.
“Tetapi bantuan sedemikian mungkin tidak sampai kepada semua orang memandangkan hanya 60 peratus tenaga kerja di Malaysia berada dalam sektor formal,” ujarnya.
Tambah beliau, fokus kerajaan sekarang adalah pada reformasi subsidi dan mengoptimumkan perbelanjaan sebelum dapat mempertimbangkan membawa kembali cukai penggunaan.
“Setelah mengalami pertukaran pemimpin sejak 2018, kerajaan semasa mempunyai alasan untuk berhati-hati. Kami tidak mahu menjadi kumpulan hit yang hanya berjaya sekali,” katanya.