Semua pihak termasuk tokoh agamawan diingatkan agar sentiasa menjaga adab dan akhlak dalam membahaskan isu berkaitan Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan menyatakan bahawa perdebatan mengenai rang undang-undang tersebut telah menunjukkan reaksi berlebihan yang melampaui batas yang sepatutnya.
Beliau menambah bahawa kenyataan yang menghina, memperlekeh dan bersifat kesat hanya akan menambah api permusuhan dan tidak menyelesaikan kekusutan yang ada.
“Setiap tokoh agamawan serta pengikut dan penyokongnya yang terlibat dalam perdebatan ini seharusnya sentiasa berusaha memperlihatkan keindahan Islam agar kefahaman mengenai Islam akan mengukuhkan lagi kecintaan terhadap nilai dan ajarannya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Amidi juga menggesa semua pihak untuk memahami konteks asal rang undang-undang tersebut agar perbincangan tidak tersasar dari tujuan asal penggubalannya. Beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menangani isu ini dengan mengutamakan kebaikan untuk umat Islam.
Sebelumnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyatakan bahawa rang undang-undang itu akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga dalam sidang Parlimen yang bermula pada 14 Oktober ini.
Antara lain, rang undang-undang tersebut akan memberikan takrifan kepada Ahli Sunah Waljamaah yang akidahnya bersumber dari aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah.