
PENYERANG sensasi Manchester United, Marcus Rashford, telah menyertai Aston Villa secara pinjaman sehingga akhir musim 2024/25.
Rashford diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain Aston Villa hari ini menerusi laman rasmi kelab, dengan perjanjian pinjaman itu turut disertakan pilihan untuk pembelian tetap pemain skuad kebangsaan England tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Manchester United dan Aston Villa kerana merealisasikan perjanjian pinjaman ini.
“Saya bertuah kerana beberapa kelab mahukan khidmat saya, tetapi memilih Aston Villa adalah keputusan yang mudah. Saya mengagumi cara pasukan ini bermain musim ini serta visi pengurus mereka. Saya hanya mahu bermain bola sepak dan sangat teruja untuk memulakan cabaran baru.
“Saya juga mendoakan yang terbaik buat semua di Manchester United sepanjang musim ini,” katanya menerusi laman Instagram.
Sebelum ini, Rashford yang digugurkan daripada skuad United pada Disember lalu pernah menyatakan keinginannya untuk mencari “cabaran baru.”
Pemain berusia 27 tahun itu tidak beraksi sejak kemenangan 2-1 Manchester United ke atas Viktoria Plzen dalam saingan Liga Europa (UEL) pada 12 Disember lalu.
