ALOR SETAR- Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah bahawa amat tidak wajar sekiranya suara rakyat negeri itu didiamkan terutama melibatkan sejarah dan kedaulatan Negeri Kedah.
Baginda turut mengingatkan bahawa pembentukan negara Malaysia tidak menjadi titik yang membenarkan sejarah negeri Kedah yang telah wujud sejak sekian lama dipadamkan.
Baginda bertitah, perbincangan mengenai sejarah negeri Kedah di pelbagai platform mulai subur sejak akhir-akhir ini di segenap lapisan masyarakat, terutamanya membabitkan kedudukan negeri itu dan Pulau Pinang.
Ia dilihat sebagai satu perkembangan yang baik dan baginda berharap agar minat rakyat untuk mendalami sejarah sebenar negeri Kedah dan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu.
Baginda bertitah, hakikat bahawa Pulau Pinang hanyalah dipajak juga perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis. “Walaubagaimanapun, perbincangan mengenai perkara ini haruslah disulami dengan fakta yang berasas dan tepat.
“Adalah lebih baik sekiranya fakta-fakta ini dikaji secara ilmiah dan lebih tersusun agar dapat dijadikan rujukan serta membawa kebaikan kepada generasi akan datang, “Hal ini adalah kerana sejarah adalah sumber kebijaksanaan terpenting dalam mengajar kita seni bernegara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berucap bersempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-81 di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada Ahad. Dalam perkembangan sama, Sultan Sallehuddin bertitah bahawa peristiwa lampau telah meletakkan negeri dalam keadaan yang sukar dan terpaksa bersetuju dengan perjanjian-perjanjian berat sebelah.
Perkara berkenaan harus dijadikan pedoman serta peringatan agar semua pihak lebih berhati-hati dalam bertindak dan berurusan.
“Perjuangan menjaga hak dan kedaulatan negeri kini bukan lagi di medan perang sebagaimana yang dilakukan oleh pahlawan negeri terdahulu. Medan perjuangan kini adalah di meja-meja rundingan dan melalui tinta-tinta tulisan.
“Namun begitu, keberanian yang ditunjukkan oleh pahlawan terdahulu sebagaimana yang telah terpahat dalam lipatan sejarah Perang Musuh Bisik pada kurun ke-19 harus dicontohi dan dihayati oleh generasi masa kini,” titah baginda.
Baginda turut berharap agar sejarah Kedah terus dihayati oleh semua pihak kerana ia cukup bernilai tinggi selain ianya tidak boleh dibeli melainkan ‘ditempa dengan darah dan air mata’.
Sumber: Berita Awani