4 Mac 2024, Kinta – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan semua lapisan masyarakat yang layak dapat memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri hadir menyempurnakan Program MEKAR Bersama Penghuni Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, Perak.
Sebanyak 5 gantian kad pengenalan telah diproses dan diserahkan kepada penghuni Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta pada hari ini. Program MEKAR bersama penghuni Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, Perak merupakan program berkala anjuran JPN Negeri Perak ke rumah kebajikan serta perlindungan dan merupakan penganjuran kali pertama bagi tahun ini.
Program MEKAR JPN merupakan satu program turun padang yang mana urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad, dan sijil kelahiran disediakan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman.
Turut hadir YBhg. Datuk Haji Ruji Bin Haji Ubi, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBrs. Tuan Badrul Hisham Bin Alias, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, YBhg. Dato’ Mohd Zulfikar bin Ahmad, Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Dalam Negeri.