Global

PROGRAM MEKAR JPN BANTU PERBAHARUI DOKUMEN PENGENALAN DIRI MANGSA BANJIR

16 Mac 2024: Program Mekar Komuniti Program di Kampung Pasir Raja, Dungun Terengganu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, YBrs. Tuan Badrul Hisham bin Alias. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran (Operasi), Puan Sarinah Binti Apisah, Pengarah JPN Negeri Terengganu, Encik Mohamad Nasir Bin Kareem.

Seramai 6 orang penduduk Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor telah menerima MyKad siap melalui permohonan gantian MyKad semasa Program MEKAR JPN Negeri Terengganu pada bulan Februari yang lalu. Program tersebut dilaksanakan bagi memudahkan urusan mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri tanpa perlu hadir ke mana-mana pejabat JPN.

Pada program tersebut, JPN memperkenalkan satu lagi kemudahan perkhidmatan JPN terus kepada rakyat iaitu kaunter bergerak Van MEKAR JPN yang dapat menerima dan memproses permohonan secara dalam talian bagi cabutan sijil kelahiran, cabutan sijil kematian, permohonan Kad Pengenalan kali pertama 12 tahun, dan gantian Kad Pengenalan.

Dengan kaedah perkhidmatan terbaru ini, bukan sahaja pelanggan yang tinggal di kawasan pedalaman, malah komuniti di kawasan akibat bencana dapat dibantu dalam membuat urusan pendaftaran tanpa perlu hadir ke pejabat JPN dengan lebih efisyen.

Program MEKAR adalah inisiatif turun padang JPN yang sentiasa dilaksanakan ini merupakan salah satu pendekatan produktif JPN dalam memastikan tiada keciciran dokumen pengenalan diri yang sah bagi setiap penduduk di Malaysia yang layak. Pendekatan ambil peduli JPN ini selaras dengan elemen ihsan dalam konsep Malaysia Madani, membolehkan mereka menikmati pelbagai bantuan dan kemudahan yang ditawarkan Kerajaan.