GEORGE TOWN: Tiada isu atau masalah berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kalangan parti gabungan Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beberapa rundingan yang dijalankan di antara kedua-dua parti itu telah mencapai keputusan yang baik malah turut berjaya mencapai beberapa persetujuan bersama bagi memastikan dapat mempertahankan Pulau Pinang.
“Proses rundingan bermula di negeri ini dan kami telah mengadakan beberapa pertemuan bagi membincangkan pembahagian kerusi, sehingga dua tiga minggu lepas hanya satu kerusi DUN Pulau Pinang masih belum mencapai persetujuan manakala yang lain telah dipersetujui bersama.
“Saya yakin sekarang ini satu kerusi itu telah berjaya mencapai persetujuan kerana rundingan itu dibuat di peringkat Pusat oleh kepimpinan PH dan BN, lambat laun kita akan tahu keputusannya… ia (rundingan) telah di peringkat akhir.
“Cuma setakat ini saya tidak boleh buat apa-apa pengumuman lagi berhubung pembahagian kerusi tetapi secara dasarnya kita (PH dan BN) telah berjaya mencapai persetujuan berhubung perkara itu,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.
Chow yang juga Ketua Menteri berkata, DAP juga secara dasarnya akan kekal bertanding di 19 kerusi DUN Pulau Pinang kerana ia merupakan kerusi penyandang ahli-ahli DUN parti itu.
“Dari awal lagi, penyokong DAP menganggap kami (DAP) perlu kekalkan 19 kerusi penyandang di Pulau Pinang dan itu yang kami sudah rundingkan, sebarang persetujuan yang dibuat adalah sempurna,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini, pihaknya telah masuk ke peringkat pemilihan calon dan DAP telah menemu bual 30 bakal calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Selain senarai penyandang, kami juga telah temu bual seramai 30 orang bakal calon…malah kami juga tidak tetapkan jumlah bagi calon wanita walaupun secara dasarnya (calon wanita) 30 peratus, sama ada cukup bilangan atau tidak kita tunggu nanti (pengumuman calon),” katanya.
Katanya, gabungan itu juga tidak menetapkan sesiapa sebagai poster boy di Pulau Pinang kerana sejak tiga pilihan raya yang lepas memang tidak pernah menampilkan poster boy.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu lepas telah menetapkan PRN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan dijalankan serentak pada 12 Ogos.
Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang memiliki 40 kerusi, dibubarkan pada 28 Jun untuk memberi laluan kepada PRN.