SUNGAI BAKAP: Lebih banyak kemajuan dan pembangunan bakal dinikmati penduduk Sungai Bakap sekiranya calon Pakatan Harapan ( PH) Dr Joohari Ariffin dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu, 6 Julai ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, beliau berazam akan membantu kawasan Sungai Bakap yang dikategorikan sebagai luar bandar.
Katanya, antara yang akan dibangunkan adalah pembinaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang belum ada di kawasan daerah Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk Sungai Bakap dan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
“Saya juga akan membantu beliau untuk membawa keperluan bagi penduduk dan rakyat Sungai Bakap ini untuk memenuhi beberapa keperluan, keperluan asas dan keperluan perayaan lain mengikut keperluan rakyat tempatan.
“Rugi… sangat rugi kalau pemudi memilih calon lain kerana calon itu tidak bersama dengan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan Perpaduan,” kata Ahmad Zahid.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden UMNO berkata, jentera Umno dan Barisan Nasional ( BN) kini bertungkus lumus dalam memastikan kemenangan Dr Joohari.
Jelasnya, kemenangan calon PH dari kerajaan perpaduan sangat penting kepada kerajaan Madani kerana ia juga adalah kemenangan kepada BN dan UMNO.
“Kami sangat komited kerana kita tahu bahawa PH telah membantu kita… kita telah membuat beberapa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri-negeri dan kemenangan di Sungai Bakap ini sungguh penting untuk Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang dan juga imej untuk Kerajaan Perpaduan,” jelas Timbalan Perdana Menteri .
Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas hadir pada Majlis Malam Kasih Bersama Pemimpin di Sungai Kechil, di sini.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Allahyarham Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal mewakili PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang diangkat menjadi wakil rakyat selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.