JOHOR BAHRU: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengingatkan pengundi Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pulai agar mengambil pengajaran yang berlaku di Selangor apabila kehilangan majoriti dua pertiga disebabkan peratusan keluar mengundi rendah.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, pengundi di Selangor ketika itu tidak keluar mengundi kerana terlalu yakin PH akan menang dua pertiga majoriti pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.
ADVERTISING
“Pada PRN lalu Selangor merekodkan peratusan keluar mengundi kira-kira 71 peratus manakala pengundi masyarakat Tionghua yang melaksanakan tanggungjawab itu hanya 61 peratus.
“Angka ini menyebabkan gabungan PH dan BN kehilangan empat kerusi dengan majoriti yang tipis seterusnya tidak mendapat dua pertiga setelah menang 34 daripada 56 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) yang dipertandingkan,” katanya pada Ceramah Perpaduan Pulai di Bukit Indah, Johor Bahru pada malam Sabtu.
Amirudin memberitahu, kawasan yang kalah dengan majoriti tipis bawah 1,000 undi melibatkan kerusi DUN Dengkil tewas dengan 400 undi, Taman Medan (30 undi), Gombak Setia (58 undi) dan Sungai Kandis (167 undi).
“Saya tahu ramai yang katakan ada peluang besar menang di Pulai, tetapi saya juga harap kita tak selesa. Jika berpandangan seperti itu, akan jadi macam apa yang berlaku di Selangor,” ujarnya.
Katanya, disebabkan ramai berpandangan Selangor pasti menang pada PRN tersebut, pengundi sudah terlalu yakin sehingga tidak keluar mengundi.
“Perlu ingat, setiap undi bermakna dan bernilai, jika peratusan keluar mengundi naik sebanyak 0.5 peratus lagi, kita boleh menang empat kerusi ini dan sahkan majoriti dua pertiga dalam DUN, tak apalah perkara itu sudah lepas.
“Oleh itu, pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ingatkan rakan-rakan ini adalah untuk negara dan masa depan kita, pemulihan negara sedang dilakukan dan saya jamin Kerajaan Perpaduan kekal sampai habis penggal,” katanya.
Amirudin berkata, di Selangor lebih 60 peratus rakyat menyokong Kerajaan Perpaduan dan menyekat berlakunya gelombang yang dicanang Perikatan Nasional (PN) dan perkara itu perlu diteruskan di Parlimen Pulai.
Katanya, kemenangan kerusi Parlimen Pulai yang ditandingi calon PH, Suhaizan Kaiat akan menjaminkan kemenangan dua pertiga di Parlimen sekali gus membantu kerajaan yang sedang dipulihkan ke landasan kejayaan ekonomi.
Justeru, jelasnya, pengundi perlu menolak laungan politik PN yang hanya untuk meneruskan ketidakstabilan dalam negara dan terus memainkan politik yang pecah belah masyarakat berbilang kaum.
“PN nak jadikan Pulai sebagai tapak baharu untuk cipta gelombang baharu, saya minta orang Pulai hentikan kerja gila ini dengan terus sokongan PH pada pilihan raya kecil ini,” ujar beliau.
Tambahnya, cara PN berpolitik didakwa melampau dengan membakar semangat perkauman antara rakyat selain memainkan elemen fitnah dan penipuan.
“Pengundi perlu kekalkan kerusi ini, majoriti dua pertiga ini membolehkan kerajaan lebih seimbang, sokonglah kepada Kerajaan Perpaduan dan kekalkan Pulai sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang berjasa besar,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian