KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan memutuskan untuk mengekalkan kadar elaun RM8 sehari kepada peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan bermula pada Januari depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menjelaskan bahawa tiada keperluan untuk menaikkan kadar elaun buat masa ini.
“Setakat ini, elaun sebanyak RM8 kita kekalkan kerana program ini belum bermula. Jadi, biarlah ia bermula dahulu,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek di bawah Program Kampung Angkat Madani – Mindef di Kampung Baru Pasak hari ini.
Pada minggu lepas, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Keselamatan telah mengesyorkan supaya kadar elaun peserta PLKN 3.0 dinaikkan kepada RM50 sehari.
Tempoh Pendek Kurangkan Risiko Buli
Dalam isu lain, Mohamed Khaled menjelaskan bahawa insiden buli dan provokasi antara peserta PLKN 3.0 dijangka dapat dielakkan kerana program ini hanya berlangsung selama 45 hari di kem tentera.
“Dengan tempoh program yang singkat, kami percaya isu seperti buli dan provokasi dapat ditangani dengan baik,” ujarnya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, memaklumkan bahawa kementerian akan melaksanakan Latihan Percubaan PLKN 3.0 pada Januari tahun depan. Latihan tersebut melibatkan 200 pelatih lelaki secara sukarela dan akan berlangsung selama 14 hari bermula 12 Januari.