Gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool, meneruskan rekod tanpa kalah dalam Liga Juara-Juara musim ini setelah meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Girona di Stadium Montilivi, Girona. Gol tunggal perlawanan disempurnakan menerusi penalti oleh penyerang sensasi The Reds, Mohamed Salah, pada minit ke-63.
Kemenangan tersebut memastikan Liverpool, yang dibimbing oleh Arne Slot, mengumpul 18 mata penuh selepas enam perlawanan, sekaligus kekal di tangga teratas kumpulan. Mereka berada lima mata di hadapan Bayer Leverkusen dan Aston Villa. Sementara itu, Girona hanya mengumpul tiga mata dan berada di tangga ke-30.
Girona mempamerkan aksi agresif pada separuh masa pertama dalam usaha mengelak kekalahan kelima mereka dalam pertandingan ini. Namun, Liverpool berjaya menyerap tekanan dan bertahan dengan baik menentang pasukan kendalian Michel. Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, yang membuat kemunculan pertamanya sejak mengalami kecederaan hamstring pada Oktober, menunjukkan prestasi cemerlang dengan beberapa aksi penyelamatan penting.
Separuh masa kedua menyaksikan Liverpool lebih menguasai permainan. Pasukan pelawat akhirnya dihadiahkan sepakan penalti selepas Luis Diaz dikasari, dan Mohamed Salah tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol kemenangan.
Pertahanan Liverpool, Andy Robertson, berkata, “Enam kemenangan daripada enam perlawanan – anda tidak boleh meminta lebih baik. Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi pada saat ini, yang penting adalah kemenangan dan kelayakan, dan kami berjaya mencapainya.”
Di pihak Girona, pertahanan Alejandro Francés Torrijo mengakui, “Kami telah memberikan yang terbaik dan mempunyai peluang, tetapi terpaksa menerima kekalahan ini. Fokus kini adalah pada baki perlawanan. Yang utama adalah pengalaman menentang pasukan hebat seperti Liverpool.”
Keputusan Liga Juara-Juara
- FC Dynamo Zagreb 0-0 Celtic FC
- FC Girona 0-1 Liverpool FC
- Brest FC 1-0 PSV Eindhoven
- Shakhtar Donetsk 1-5 Bayern Munich
- Club Brugge 2-1 Sporting Lisbon
- Red Bull Salzburg 0-3 Paris Saint-Germain
- RB Leipzig 2-3 Aston Villa
- Bayer Leverkusen 1-0 Inter Milan
- Atalanta 2-3 Real Madrid