PUTRAJAYA, 31 Ogos 2023 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 yang berlangsung di Dataran Putrajaya.
Turut hadir sama adalah YAB Dato’ Seri Anwar bin brahim, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri I, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof, Timbalan Perdana Menteri II, barisan Jemaah Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri serta dif-dif jemputan.
Ia disusuli lintasan hormat lima helikopter yang membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam melambangkan 14 negeri dalam Malaysia. Lagu Negaraku kemudian berkumandang, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, diiringi oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh pembesar negara dan hadirin, diketuai Muhammad Haikal Roslan, pemenang pingat emas Kejohanan Asian Bowls 2023 yang juga pelajar Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Sambutan yang berlangsung di Dataran Putrajaya itu, dimeriahkan dengan pelbagai persembahan serta perarakan daripada 67 kontinjen. Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.
Sementara itu, sejurus keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter Airbus H225M (EC 725), AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.
Seri Paduka kemudian menerima Tabik Hormat Diraja dan berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Mohd Ridhwan Mohd Asri.
Ketibaan Perdana Menteri diiringi paluan gendang dan disahut laungan “Malaysia MADANI” sebanyak tiga kali, bergema di Dataran Putrajaya yang kali terakhir menjadi hos sambutan hari bersejarah itu pada 2019.
Sebagai langkah mempromosi warisan batik Malaysia, Jemaah Menteri dan tetamu kehormat antaranya memperagakan batik khas bermotifkan bunga raya dan belang Harimau Malaya rekaan Kraftangan Malaysia.
Acara sambutan yang melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan, turut disiarkan dan diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung melalui kaca televisyen dan laman media sosial.
Mendahului acara sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 itu ialah nyanyian lagu Negaraku seiring dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, serentak kedengaran 14 das tembakan kehormatan, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia, dilaksanakan oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Lt. Kol. Mohamad Asri bin Che Wil.
Segmen cabaran dan ketangkasan pula mengetengahkan kemahiran anggota pasukan 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan aksi terjun tepat dari ketinggian 4,000 meter yang kemudiannya mempunyai tempoh hanya beberapa saat untuk membuka payung terjun sebelum mendarat di hadapan khemah utama, sebelum berjaya mendarat di hadapan khemah utama walaupun berdepan cabaran permukaan jalan yang licin berikutan hujan awal pagi tadi.
Pada sambutan kali ini, persembahan khas Gegar MADANI disertai kira-kira 800 penari dan 600 pelajar sekolah di samping irama pukulan gendang daripada 400 pemain gendang pelbagai kaum melatari persembahan itu.
Perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini terdiri daripada Kontinjen Kenegaraan, Perpaduan Malaysia MADANI, Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif dan Penyiaran, Sukan Negara, Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.
Mendahului kontinjen kenegaraan ialah perarakan pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA) diikuti kontinjen pembawa Jalur Gemilang bersaiz 24.4 meter x 12.2 meter oleh 100 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dan disusuli perarakan 334 pembawa Jalur Gemilang.
Tidak sempurna acara tanpa bacaan ikrar Rukun Negara, justeru ikon sukan Muhammad Haikal Roslan yang merupakan pemenang pingat emas bawah 25 tahun perseorangan Kejohanan Asian Bowls ke-12 2023 diberi mandat mengetuai 66 pembaca ikrar yang terdiri daripada pelbagai kaum serta menonjolkan elemen perpaduan. Lebih istimewa, 36 daripada pembaca ikrar itu melafazkan ikrar berkenaan menggunakan bahasa isyarat, seterusnya diikuti dengan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali.
Menyemarakkan suasana sambutan, hadirin disajikan dengan persembahan lagu tema “Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” ciptaan Affan Mazlan dan digubah oleh Datuk Mokhzani Ismail serta formasi manusia dengan kibaran bendera pelbagai warna berdasarkan lagu itu ditampilkan 1,500 pelajar sekolah dari sekitar Lembah Klang.
Bagi segmen perpaduan dan kesejahteraan, penonton dipersembahkan dengan lagu “Kurik Kundi” olahan baharu nyanyian beberapa artis iaitu Nadeera Zaini yang mewakili kaum Melayu di Semenanjung, Suki Low (kaum Cina), Roshini Balachandran (kaum India), Zizi Kirana (masyarakat Sabah) dan Hazraniza Dollah (masyarakat Sarawak) yang menandakan penyatuan rakyat.
Tumpuan seterusnya terarah kepada persembahan aksi pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat iaitu Army Red Warrior, antaranya menampilkan lompatan bermotosikal merentasi 66 motosikal model Royal Enfield dilakukan Sarjan Saidatul Husna binti Kamaruddin yang menggunakan Kawasaki Scrambler 250cc serta pemilihan 66 motosikal secocok dengan ulang tahun kemerdekaan ke-66 tahun negara.
Turut menarik perhatian, perarakan kontinjen Perpaduan Malaysia MADANI yang dianggotai 400 peserta daripada pelbagai kaum dan etnik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan memperagakan pakaian pelbagai etnik di negara ini, diterajui YBrs. En. Mohamad Sobri Mat Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Perpaduan) Kementerian Perpaduan Negara.
Perbarisan kontinjen ekonomi pula disertai pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat korporat terkemuka yang berperanan dalam memacu ekonomi negara termasuk Petronas, DRB HICOM dan FGV Holdings Bhd.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang turut menyertai perbarisan kontinjen ekonomi memperagakan model-model kenderaan elektrik antaranya Proton X90 Hybrid, Perodua Ativa Hybrid, GWM Ora Good Cat dan Tesla Model Y Performance, selari komitmen kerajaan dalam membangunkan industri automotif termasuk kenderaan elektrik dan komponen.
Watak siri animasi popular Malaysia termasuk Mechamato, Ejen Ali, Boboiboy dan Didi turut menyerikan lagi sambutan tahun ini dengan pelbagai aksi menerusi perarakan kontinjen industri kreatif dan penyiaran, manakala Agrobank tampil dengan perarakan 30 kereta antik.
Atlet sukan yang mengharumkan nama negara pada pelbagai temasya antarabangsa juga tidak ketinggalan turut serta pada perarakan sambutan bersejarah ini.
Sumber: Bahagian Komunikasi Korporat | KEMENTERIAN DALAM NEGERI