Bisnes

Petronas catat pendapatan rendah pada suku ketiga ketika purata harga direalisasi lemah

Petronas berkata harga minyak dan gas yang tidak menentu dijangka lebih ketara akibat ketidaktentuan ekonomi yang berlarutan dan kebimbangan yang meningkat terhadap keselamatan tenaga global. – Gambar hiasan/DagangNews

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatatkan keuntungan bersih RM23.9 bilion pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2023 berbanding RM30.8 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

Perolehan pada suku berkenaan turut menyusut kepada RM82.9 bilion daripada RM98.9 bilion tahun ke tahun, terutamanya berikutan purata harga direalisasi lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh impak pertukaran asing yang menggalakkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata prestasi suku ketiga syarikat minyak nasional itu memperlihatkan penyampaian yang tertumpu kepada strategi peralihan tenaga meskipun dalam keadaan pasaran tenaga yang tidak menentu.

“Kami meneruskan untuk melabur semula dalam perniagaan teras dan baharu kami, menggandakan usaha bagi memastikan keselamatan bekalan tenaga untuk Malaysia dan pelanggan kami di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagi suku ketiga, aliran tunai Petronas daripada aktiviti operasi (CFFO) berjumlah RM18.1 bilion, seiring dengan keuntungan rendah yang diterima dalam tempoh itu.

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih Petronas menyusut sebanyak RM13.1 bilion kepada RM64.1 bilion daripada RM77.2 bilion pada tahun sebelumnya, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, pelunasan (EBITDA) berkurangan kepada RM103.9 bilion berbanding RM130.2 bilion.

Perolehan dalam tempoh itu berjumlah RM251.9 bilion, penurunan tahun ke tahun sebanyak RM17.5 bilion, terutamanya berikutan purata harga direalisasi lebih rendah bagi semua produk, sejajar dengan penyusutan harga penanda aras, namun diimbangi dengan peningkatan jumlah jualan produk utama dan impak pertukaran asing yang menggalakkan.

Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas berada di landasan untuk mencapai penggunaan penuh 20 peratus perbelanjaan modal yang komited untuk mempergiat penyahkarbonan operasi syarikat dan pertumbuhan dalam perniagaan baharu.

“Memandangkan kami membina momentum ini untuk memberi nilai kemampanan jangka panjang sebagai syarikat minyak nasional dan terus berkembang sebagai penggiat tenaga global, Petronas mengekalkan tekad untuk mendepani perubahan kitaran pasaran tenaga dengan komitmen kukuh tanpa gangguan dan melakukan segala usaha menyediakan tenaga selamat, dihasilkan dengan bertanggungjawab, kos optimum dan mengurangkan pelepasan,” katanya.

CFFO Petronas bagi sembilan bulan pertama 2023 berada pada RM76.0 bilion, manakala jumlah aset meningkat kepada RM752.2 bilion sehingga 30 Sept 2023 berbanding RM710.6 bilion pada 31 Dis 2022.

Dari segi perbelanjaan modal (capex), Petronas telah memperuntukkan RM34.3 bilion untuk tempoh sembilan bulan, terutamanya berkenaan projek huluan dan gas.

Menurutnya capex domestik meningkat sebanyak 37 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas terutamanya untuk pelaburan dalam projek gas asli cecair terapung dekat pantai oleh Petronas di Sabah dan kemudahan pembangunan lapangan gas Kasawari dan sekuestrasi karbon dioksida di Sarawak.

Ekuiti pemegang saham menokok kepada RM432.4 bilion setakat 30 Sept 2023 daripada RM401.6 bilion sehingga 31 Dis 2022, terutamanya berikutan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham dan impak menggalakkan daripada pertukaran asing dalam tempoh itu, sebahagiannya diimbangi oleh dividen yang diisytiharkan kepada kerajaan.

Pada masa depan, Petronas berkata harga minyak dan gas yang tidak menentu dijangka lebih ketara akibat ketidaktentuan ekonomi yang berlarutan dan kebimbangan yang meningkat terhadap keselamatan tenaga global dalam keadaan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

Berikutan itu, Petronas menjangka keuntungan lebih rendah pada tahun ini berbanding 2022, namun menegaskan untuk terus memperkukuh kecemerlangan operasi dalam perniagaan terasnya di samping menguatkan pertumbuhan dan agenda kemampanan di Malaysia dan di peringkat antarabangsa