Tempatan

Perdana Menteri: SSPA Bakal Diumum Antara Terbaik

Anwar menyatakan bahawa SSPA akan diumumkan dan dimuktamadkan semasa Belanjawan 2025.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan diumumkan tidak lama lagi adalah salah satu yang terbaik yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau berkata SSPA akan diumum dan dimuktamadkan semasa Belanjawan 2025.

“Saya nak pastikan apabila saya umum begitu, segala kelompangan diisi,” katanya pada majlis sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata meskipun kerajaan dibebani hutang RM1.5 trilion namun ia komited dalam memastikan gaji penjawat awam dinaikkan melebihi 13 peratus bermula Disember ini.

“SSPA ini ada dua pihak kritik. Ahli ekonomi kata Anwar tidak praktikal, dia nak popular maka tidak ada wang, dia naik juga dan jumlahnya besar. Yang satu pihak lagi (pembangkang) kata tidak mungkin berlaku,” katanya.

Walau bagaimanapun, Anwar menyatakan bahawa kritikan tersebut tidak akan mempengaruhi pandangan dan keputusan kerajaan dalam pelaksanaan SSPA.

Beliau juga menyatakan bahawa sebagai Menteri Kewangan, bersama-sama dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mereka berusaha keras untuk mencari jalan dalam melaksanakan inisiatif tersebut.

Pada 1 Mei yang lalu, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji untuk penjawat awam sebanyak lebih daripada 13 peratus bermula Disember ini yang merupakan kenaikan tertinggi dalam sejarah negara.

Kenaikan ini melibatkan peruntukan lebih daripada RM10 bilion.