Datuk Seri Hamzah Zainudin telah mengesahkan bahawa beliau akan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan datang.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan perkhabaran terbaharu itu dalam sidang media selepas Konvensyen Bersatu di Selayang pada Sabtu lalu.
Beliau menyatakan bahawa Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Peja) yang juga memegang jawatan tersebut telah bersedia untuk mengundurkan diri bagi memberi jalan kepada Hamzah.
“Peja (Faizal) sedia lepaskan jawatan itu dan tak bertanding Timbalan Presiden kerana berikan ruang kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk mengambil tugas sebagai Timbalan Presiden.
“Ini atas dasar mengiktiraf peranan Setiausaha Agung PN, tidak kurang penting juga beliau sebagai Ketua Pembangkang Perikatan Nasional (PN) di Parlimen yang banyak pengaruh.
“Hubungan yang akrab dengan parti komponen lain seperti Pas. Ini semua kita ambil kira.
“Saya fikir saya tiada halangan langsung untuk Datuk Seri Hamzah memimpin sebagai Timbalan Presiden dan membantu saya,” katanya.
Tambah lagi, parti juga bersetuju untuk menawarkan jawatan Setiausaha Agung Bersatu kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Apabila ditanya sama ada pengumuman ini bermakna Hamzah akan menang tanpa bertanding dalam jawatan Timbalan Presiden Bersatu, Muhyiddin menegaskan bahawa kemungkinan tiada calon lain yang akan mencabar jawatan tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa parti telah berbincang dan bersetuju untuk membenarkan Ahli Parlimen Larut itu memegang jawatan tersebut. Walau bagaimanapun, Muhyiddin menyatakan bahawa perlembagaan parti masih membenarkan ahli untuk bertanding dalam jawatan Timbalan Presiden.
Sebelum ini, jawatan yang dipegang oleh Ahmad Faizal telah menjadi perhatian apabila Mohamed Azmin dijangka akan bertanding untuk merebut jawatan tersebut. Sekiranya pertandingan ini benar-benar berlaku, ia akan menyaksikan persaingan antara dua tokoh politik utama negara untuk mendapatkan jawatan tersebut.
Namun, dengan pengumuman terkini dari Muhyiddin, ini mungkin akan meredakan sedikit ketegangan dalam pemilihan terutamanya jika Mohamed Azmin menerima tawaran untuk jawatan Setiausaha Agung.