Pendidikan

Pengerusi MARA Tegaskan Keadilan Hukuman dalam Kes Buli di MRSM

Asyraf Wajdi menyatakan bahawa siasatan menyeluruh perlu dilakukan untuk memastikan hukuman yang dijatuhkan adalah adil dan saksama bagi semua pihak yang terlibat dalam isu tersebut.

Satu siasatan menyeluruh perlu dijalankan sebelum langkah tegas diambil terhadap individu yang terlibat dalam kes buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) baru-baru ini.

Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyatakan bahawa langkah ini bertujuan untuk memastikan bahawa hukuman yang dikenakan adalah adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat dalam isu tersebut.

“Paling penting kita nak pastikan tindakan tegas kepada sesiapa yang benar-benar bersalah dan kita juga nak pastikan mangsa (buli) diberikan perlindungan supaya dapat terus hidup dalam keadaan tenteram.

“Dalam masa yang sama, saya tak mahu sebarang isu yang terkait dengan masalah disipilin, terutama membabitkan hal buli, disorok dan cuba ditutup oleh sesiapa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Taiping di Hotel Taiping Perdana di sini hari ini.

Semalam, Asyraf dalam satu kenyataan menegaskan bahawa sebarang perbuatan buli sama ada fizikal atau mental tidak boleh ditoleransi kerana ia merupakan satu jenayah. Beliau juga menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kes buli di MRSM untuk segera melaporkannya kepada beliau.

Ini berikutan tangkapan layar yang dikongsi oleh pakar kewangan Islam Dr. Zaharuddin Abd Rahman melalui laman Facebook yang meminta Asyraf Wajdi mengambil tindakan terhadap laporan seorang ibu yang mendakwa anak lelakinya, seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah MRSM telah dibuli oleh pelajar senior.

Asyraf Wajdi menekankan bahawa hukuman yang dikenakan kepada pesalah perlu dijadikan sebagai iktibar supaya tindakan serupa tidak berulang dalam kalangan pelajar MRSM yang lain. Selain itu, beliau menyatakan bahawa beberapa program proaktif sedang aktif dilaksanakan untuk meningkatkan nilai-nilai masyarakat dan adab di kalangan pelajar MRSM.

“Kita tak mahu lahirkan robot-robot bernyawa yang cerdik dan boleh buat apa sahaja yang diperlukan tetapi tiada roh dan tiada jiwa.

“Sebab itu pembentukan watak dan akal ini mesti disekalikan,” katanya.