Konsep Komuniti ASEAN untuk 20 tahun akan datang adalah salah satu topik yang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Vientiane, Laos yang akan bermula minggu depan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan bahawa Malaysia komited untuk menjayakan Komuniti ASEAN bagi memungkinkan negara-negara serantau meningkatkan kerjasama dalam pelbagai aspek untuk memastikan pembangunan ekonomi yang seimbang.
“Pelbagai perkara akan dibincangkan dalam mesyuarat dipengerusikan Laos selaku tuan rumah. Bermula tahun depan, konsep Komuniti ASEAN 10 tahun akan tamat dan Malaysia mahu perkenalkan konsep Komuniti ASEAN 20 tahun bermula 2025 hingga 2045.
“Matlamatnya adalah bagaimana menjadikan ASEAN sebagai satu komuniti besar bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga pembahagian tenaga, kesalinghubungan, infrastruktur dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Felda Sungai Sayong di sini hari ini. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba.
Mohamad berkata ASEAN mampu menjadi blok penting dalam sistem ekonomi global dengan pelbagai kelebihan dimiliki setiap negara anggota.
“Dengan penduduk lebih 600 juta berserta nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kelima terbesar dan bakal menjadi keempat terbesar dunia dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, ini merupakan asas untuk kita bina masa depan sebagai kesatuan negara-negara tetapi masih mempunyai kedaulatan masing-masing.
“Hubungan dan kerjasama baik negara-negara ASEAN penting bagi memastikan keamanan dan ketenteraman di rantau ini tidak tergugat oleh mana-mana negara kuasa besar lain khususnya melibatkan isu kawasan Laut China Selatan,” katanya.
Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan mesyuarat berkaitan di Vientiane dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 27 Julai ini.
Sementara itu, Mohamad menyatakan bahawa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 telah menyusun atur 257 mesyuarat yang bukan sahaja tertumpu di ibu negara tetapi juga melibatkan Johor, Pulau Pinang, Kedah, Sabah, Sarawak dan Negeri Sembilan.