Tempatan

Pemandu bas ekspres maut nahas tiga kenderaan

Kemalangan jam 9.30 malam itu turut membabitkan sebuah lori dan kereta. – Foto JBPM

KULAI: Pemandu bas ekspres maut, manakala lapan cedera termasuk tiga penumpang bas terbabit dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 32.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di sini, malam tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Ismail Tapah, 65 tahun.

Ketua Polis daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata kemalangan jam 9.30 malam itu turut membabitkan sebuah lori dan kereta.

Katanya mangsa yang maut mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Lapan penumpang bas terbabit mengalami cedera ringan dan pemandu kereta serta lori tidak mengalami kecederaan.

“Hasil siasaran awal mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila lori yang sedang bergerak terus menghala ke arah utara telah terbabas di tengah jalan dan tersangkut di bahagian tengah besi penghadang jalan.

“Kemudian datang bas ekspres dari arah sama yang tidak sempat mengelak telah melanggar lori dari belakang.

“Akibat pelanggaran tersebut bas telah terbabas ke longkang di kiri jalan. Manakala kereta telah terkena lori akibat perlanggaran dengan bas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Beng Yeow, kenderaan dibawa ke Puspakom Senai untuk pemeriksaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulau, Fairuz Helmi Mohd Ali berkata 22 anggota dari BBP kulai dan Senai digerakkan ke lokasi selepas mendapat panggilan kecemasan pada jam 10.17 malam.

‘Menurut komander operasi, Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori Isuzu dan sebuah bas.

“PKO bertindak mengeluarkan 3 mangsa cedera dan seorang mangsa meninggal dunia dari kenderaan bas dan lori.

“Kesemua mangsa yang cedera dihantar kehospital menggunakan ambulans KKM manakala mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sumber : Astro Awani