LIPIS: “Sebelum kejadian Andy beria-ia nak makan durian sebelum mengajak abangnya Borhan Yok Manin dan seorang kawan ke kebun yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari rumah.”
Demikian kata Normah Yok Isa, 47, ibu kepada Andy Yok Manin, 15, yang maut dalam serangan gajah liar di kawasan kebun durian di Kampung Tual, Pos Sinderut di sini tengah hari semalam.
Normah berkata, ketika kejadian, dia dan suaminya tidak ikut ke kebun durian kerana terdapat kerja lain untuk diselesaikan.
“Kira-kira sejam selepas mereka pergi ke kebun, tiba-tiba Borhan dan rakannya berlari pulang ke rumah dalam keadaan ketakutan dan memberitahu mereka diserang gajah liar.
“Saya bertanya mana Andy (mangsa). Borhan berkata tak tahu nasib adiknya kerana ketika diserang gajah mereka berpecah dan bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Lipis di sini hari ini.
Ibu kepada tujuh anak itu berkata, dia bersama suami dan Borhan kemudiannya bergegas ke kebun durian untuk mencari Andy sebelum menemui anaknya dalam keadaan berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa lagi.
Dia yang amat bersedih dengan kejadian itu tidak dapat menahan sebak kerana kehilangan anak kelimanya.
“Kami sekeluarga kerap ke kebun untuk mencari durian dan tidak pernah berlaku kejadian seperti ini.
“Biar pun sedih dan tidak menyangka kejadian malang seperti ini berlaku tapi saya dan keluarga reda,” katanya.
Sementara itu, abang mangsa, Jandra Yok Manin, 34, berkata, sebaik menerima berita tentang kejadian yang menimpa adiknya, dia bergegas pulang ke kampung dari Kampung Ulu Sungai, Raub.
” Saya sudah lama tidak balik ke kampung dan bertemu dengan adik kerana bekerja di Raub.
” Apabila dimaklumkan kejadian yang menimpa Andy, saya berasa terkejut dan sangat sedih,”katanya.
Jandra berkata, sebelum kejadian Andy tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap selain turut menyifatkan adiknya itu seorang yang periang dan mempunyai ramai kenalan.
Jelasnya lagi, adalah diharapkan agar pihak berwajib dapat menangkap gajah liar itu supaya tidak lagi mengancam keselamatan penduduk kampung berkenaan.
Dalam kejadian tengah hari semalam, seorang remaja Orang Asli maut akibat diserang seekor gajah liar ketika mencari durian di Kampung Tual, Pos Sinderut di sini.
Ketua Polis Daerah Lipis , Superitendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 4. 30 petang mengenai kematian seorang remaja di kampung tersebut kerana diserang gajah liar.
Sumber : Astro Awani