Jenayah

PDRM dan Polis Thailand Bekerjasama Buru Suspek Insiden Tembakan Terhadap Anggota Kastam

Datuk Muhamad Zaki Harun menyatakan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci kerana kes ini melibatkan hubungan dua negara. Gambar: Astro Awani

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa Thailand akan bekerjasama untuk memburu suspek yang melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota kastam semasa operasi penguatkuasaan membanteras penyeludupan petrol dan diesel berhampiran pangkalan haram Pok Mat di Kampung Simpangan, Tumpat pada Rabu lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci memandangkan kes ini melibatkan hubungan antara dua negara.

“Polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada hari yang sama (Rabu) dan kami sudah bertukar maklumat dengan polis Thailand,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Beliau juga menyatakan bahawa untuk mengukuhkan kawalan sempadan, Pasukan Gerakan Am telah diarah memperketat kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand manakala pihak kastam diminta tidak bersendirian semasa menjalankan operasi.

Menurut Muhamad Zaki beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan agensi keselamatan lain supaya perkara sama tidak berulang.

“Setiap agensi penguatkuasaan di sempadan perlu bersedia dengan segala tindak balas daripada kumpulan penyeludup terutamanya memaklumkan mengenai lokasi setiap anggota yang menjalankan tugas di sempadan,” katanya.

Dalam kes lain, Muhamad Zaki berkata polis menahan dua lelaki dan merampas empat senapang buatan sendiri hasil pemeriksaan di sebuah rumah separuh bina di Pos Balu, Gua Musang dan Kampung Panchor di sini semalam.

Beliau berkata pemeriksaan di rumah separuh bina berkenaan menemukan dua laras senapang buatan sendiri, botol cecair dipercayai spirit serta 15 guli disyaki milik lelaki terbabit.

Pemeriksaan lanjut terhadap kotak rokok berjenama pula menjumpai tiub lut sinar berisi enam pil kuda.

“Tangkapan kedua di Kampung Panchor melibatkan seorang buruh berusia 41 tahun.

“Polis merampas dua senapang buatan sendiri, enam pil kuda, 15 guli serta sebotol cecair spirit,” katanya menambah lelaki itu positif terhadap Methamphetamine selain memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kedua-dua lelaki berkenaan, katanya direman hingga Selasa ini untuk siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Sumber: BERNAMA