Merapatkan Jurang Pembangunan Wilayah Sabah, Sarawak Dan Semenanjung
1. Majlis Penyelarasan Pentadbiran Negara
- Menubuhkan Majlis Penyelarasan Pentadbiran Negara melibatkan agensi yang beroperasi secara autonomi bagi wilayah Sabah, Sarawak, dan Semenanjung.
2. Timbalan Perdana Menteri Sabah Dan Sarawak
- Untuk memudahcara urus tadbir Majlis tersebut, dua (2) Timbalan Perdana Menteri akan dilantik. Seorang dari wilayah Sabah dan Sarawak dan seorang dari wilayah Semenanjung.
3. Akses Khidmat Kesihatan Pakar
- Meluaskan liputan perkhidmatan perubatan pakar seperti Unit Jantung dan Unit Kanser ke hospital-hospital umum di kawasan berkepadatan tinggi lain terutamanya Sandakan dan Tawau di bahagian timur Sabah dan kawasan tengah dan utara Sarawak.
4. Pendidikan Tinggi Dan TVET
- Dua Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) baru akan dibina di Sabah & Sarawak dan integrasi pendidikan TVET akan diperkasa. Inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk menarik lebih ramai pengajar berbakat dan melatih lebih ramai anak Sabah dan Sarawak yang layak untuk memasuki pendidikan tinggi.
- Dalam masa yang sama membina lebih banyak peluang pekerjaan dan pendidikan kepada wilayah Sabah dan Sarawak.
Memperkasa Wilayah Sabah & Sarawak Menerusi Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963
5. Perkongsian Hasil
- Melaksanakan seperti yang dimaksudkan sebanyak 40% hasil wilayah Sabah dipulangkan berdasarkan formula asal Perkara 112C dan Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh dalam Perlembagaan Persekutuan.
- Dalam hal Sarawak, kajian semula hendaklah dibuat seperti yang tertakluk di bawah Perkara 112D Seksyen 3, iaitu setiap lima tahun.
6. Melaksanakan Syor Laporan IGC
- Mengembalikan kuasa melantik Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak kepada Tuan Yang Terutama (TYT) kedua-dua wilayah seperti yang dimaksudkan dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
- Memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan kesemua 12 dokumen terutamanya IGC dihormati dan mana-mana perkara yang telah bercanggah dengan niat asal perjanjian akan dilaksana seperti yang dimaksudkan.
7. 35% Perwakilan Parlimen Sabah Dan Sarawak
- Sejajar dengan laporan IGC, memastikan 35% perwakilan Parlimen adalah dari Wilayah Sabah dan Sarawak.
Desentralisasi Kuasa Kepada Wilayah Sabah & Sarawak
8. Autonomi Pendidikan Dan Kesihatan
- Memperkasa peranan Kerajaan Wilayah dalam bidang Pendidikan dan Kesihatan menerusi pindaan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan kepada Senarai Bersama, untuk mempertingkat peranan dalam perkara seperti:
i. Naik taraf sekolah-sekolah daif.
ii. Memastikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa-bahasa Etnik
diperluas seperti Kadazandusun, Bajau, Murut, Iban dan lain-lain secara konsisten setiap tahun.
iii. Mewujudkan Fakulti Undang-undang di universiti awam Sabah.
iv. Menambah baik kemudahan makmal kesihatan.
9. Menyerahkan Urus Tadbir Bekalan Elektrik
- Menyerahkan urus tadbir Sabah Electricity Sdn. Bhd mengikut terma yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
10. Majlis Pengurusan Komuniti Kampung
- Memperkasa institusi akar umbi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung menerusi proses pendemokrasian dan saluran peruntukan terus daripada kerajaan persekutuan. Jawatan Setiausaha akan dilantik daripada kalangan penjawat awam.
11. Perjawatan Anak Negeri
- Polisi Borneonisasi iaitu 70% dalam perjawatan semua agensi pusat dan negeri untuk anak-anak Sabah dan Sarawak yang layak, terutamanya peringkat atasan.
Menyelesaikan Pelbagai Isu Kebanjiran Warga Asing Di Sabah
12. Penubuhan satu Pasukan Petugas Khas
- Sempadan yang poros mendedahkan Sabah kepada kemasukan warga asing ke wilayah ini. Kebanjiran warga asing tanpa dokumen yang berleluasa boleh menjurus kepada masalah sosioekonomi yang akan menjejaskan pembangunan wilayah Sabah secara keseluruhan. Justeru satu pelan tindakan bersepadu diperlukan bagi mencari penyelesaian tuntas terhadap permasalahan ini.
- HARAPAN memperakui hakikat bahawa terdapat empat (4) kategori utama dalam masalah kebanjiran warga asing di Sabah iaitu:
i. Pemegang kad pengenalan (MyKad) yang meragukan
ii. Pelarian Perang Filipina (Refugees)
iii. Orang Tanpa Kerakyatan (Stateless)
iv. Pendatang Tanpa Izin (PTI).
Mencipta Peluang Pekerjaan Dan Menarik Pelaburan Di Sabah & Sarawak
13. Naik Taraf Pelabuhan
- Menaik taraf pelabuhan POIC Lahad Datu dan pelabuhan Sepanggar, serta membina pelabuhan Kudat.
14. Zon Perdagangan Bebas
- Mewarta Zon Perdagangan Bebas di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), POIC Lahad Datu dan Taman Perindustrian Minyak & Gas Sipitang (SOGIP).
15. Infrastruktur Asas
- Kerajaan Persekutuan memainkan peranan penting untuk menyelesaikan masalah infrastruktur asas di semua taman perindustrian di Sabah melibatkan air, elektrik, sistem pembentungan dan jalan perhubungan dengan memberi peruntukan dalam bentuk geran.
16. Fasiliti Lapangan Terbang Lengkap
- Melengkapkan lapangan terbang utama dengan fasiliti penyimpanan sejuk, fasiliti Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) pesawat dan sebuah taman perindustrian aeroangkasa.
Demokrasi, Ketelusan Dan Keterlibatan Dalam Semua Peringkat Kerajaan
17. Meningkatkan Keterlibatan Awam
- HARAPAN bertekad untuk memberikan rakyat platform untuk menggalakkan keterlibatan orang awam di semua peringkat melalui platform yang konsisten dan terbuka.
- Terutamanya jika melibatkan kepentingan rakyat yang boleh memberi impak kepada hidup rakyat seperti projek pembangunan setempat dan dasar-dasar tempatan.
18. Berusaha Ke Arah Demokrasi Berperwakilan Di DBKL
- Kerajaan HARAPAN akan bekerja keras untuk memperkasakan demokrasi dan ketelusan di DBKL melalui kaedah yang sistematik. Usaha ini akan memastikan semua rakyat Malaysia memiliki perwakilan yang boleh dipercayai, inklusif serta mewakili kepentingan rakyat, bukannya pihak pemaju.
Pendigitalan Kerajaan: Perkasa Penyampaian Perkhidmatan Dan Kurangkan Beban Penjawat Awam
19. Akses Untuk Semua
- Akses kepada keseluruhan pentadbiran melalui telefon pintar. Usaha perlu digembleng untuk semua perkhidmatan kaunter (JPJ, Imigresen dan lain-lain) agar rakyat boleh mendapat perkhidmatan kerajaan yang mudah tanpa perlu beratur panjang.
20. Penyelarasan Perkhidmatan Awam
- Menyelaras SOP perkhidmatan awam yang bertindih atau berlebihan dengan matlamat mengurangkan beban tugas penjawat awam. Langkah ini juga akan memudahkan rakyat dalam berurusan dengan jabatan kerajaan.
Keselamatan Negara
21. Agensi Tunggal Sempadan
- Penubuhan Agensi Tunggal dan Penggunaan Data Raya (Big Data) dan Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence) dalam isu kawal selia sempadan. Amalan ini telah dilaksanakan di banyak negara lain dan merupakan kunci kepada pengurusan sempadan yang berkesan.
22. Kertas Putih Pertahanan
- Program pemodenan pertahanan mengikut keperluan Angkatan Tentera dengan berpandukan Kertas Putih Pertahanan yang diluluskan di Parlimen semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun 2019.
23. Pelan Keupayaan Bersama
- Untuk membangunkan pelan keupayaan bersama (tri-service) yang disahkan oleh kerajaan dengan pelan pembiayaan jangka panjang bersesuaian bagi memastikan wujudnya kesinambungan antara tentera darat, laut dan udara dalam berhadapan dengan ancaman pihak luar serta dimensi peperangan yang berbeza dari ancaman pengganas komunis sebelum ini.
24. Perolehan Kerajaan Dan Pertahanan
- Menggubal Akta Perolehan Kerajaan dan merombak Proses Perolehan Pertahanan untuk melindungi daripada ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa yang kerap berlaku dalam perolehan dan penyelenggaraan aset pertahanan.
25. Menjamin Kebajikan Anggota
- Membentuk Jawatankuasa Dwipartisan Parlimen untuk mengkaji isu kebajikan anggota keselamatan, dan peluang pekerjaan pasca perkhidmatan bagi melindungi kebajikan anggota veteran.
26. Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP)
- Untuk menyemak dasar sedia ada berhubung dengan sumber manusia dan mewujudkan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) bagi memastikan jumlah anggota pertahanan sentiasa mencukupi bagi melindungi kedaulatan negara.
27. Dasar Industri Pertahanan Negara (NDIP)
- Menggubal Dasar Industri Pertahanan Negara (NDIP) yang akan menjadi garis panduan untuk membangunkan sains, teknologi dan industri pertahanan negara bagi mengurangkan kebergantungan pada pihak luar dan pada masa mewujudkan ekosistem pertahanan menyeluruh negara.
28. Eastern Sabah Security Command (ESSCOM)
- Memperkukuh peranan dan mempertingkat keupayaan aset agensi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi keselamatan perairan Timur Sabah.
29. Keselamatan Data Peribadi
- Menjamin keselamatan data peribadi rakyat dari ketirisan selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan memperkemas sistem penguatkuasaan bagi membendung aktiviti jenayah seperti aktiviti penipuan (scam).
30. Pertahanan Sempadan
- Meningkatkan pertahanan sempadan negara daripada pencerobohan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia dengan menilai keperluan aset dan menambah keanggotaan unit keselamatan.
31. Pemerkasaan IPCC
- Memperkasa IPCC selaras dengan saranan Laporan Dzaiddin yang merangkumi aspek pembangunan sumber manusia dalam badan kepolisan, struktur organisasi dan saranan penambahbaikan dan modernisasi PDRM.
Malaysia Gemilang Di Persada Dunia
32. Komitmen Pada Perubahan
- HARAPAN akan meneruskan komitmen untuk membina Malaysia baharu yang lebih baik. Ini termasuklah memupuk kembali semangat asal Persekutuan Malaysia dalam membina masyarakat majmuk yang liberal dan progresif, meneruskan reformasi institusi, mengangkat martabat integriti dan menghormati kebebasan badan-badan kehakiman dan legislatif.
33. Kuasa Pertengahan (Middle Power) Yang Berpengaruh
- Memposisikan Malaysia sebagai kuasa pertengahan yang dapat memainkan peranan lebih besar dalam mencorak landskap geopolitik serantau dan global.
- Dengan terus berpegang teguh kepada Dasar Berkecuali, kami akan memberikan penekanan kepada hubungan dua hala yang dapat menggalakkan pembangunan dan memantapkan kemajuan ekonomi negara.
- HARAPAN juga komited menghalang penglibatan kuasa luar yang boleh menjejaskan kedaulatan negara serta mengelakkan Malaysia daripada terjebak dalam konflik kuasa-kuasa besar dunia.
34. Bersama ASEAN
- HARAPAN akan terus mempromosikan ASEAN sebagai blok perdagangan utama dunia dan kerjasama serantau serta memastikan Malaysia terus kekal sebagai negara anggota ASEAN yang penting dan komited dalam memperjuangkan kepentingan serantau.
Sumber: ecentral.com