REFORMASI PENDIDIKAN
Pendidikan Rendah
1. Sarapan Percuma
- UNICEF menganggarkan masalah nutrisi dalam kalangan kanak-kanak dijangka meningkat dua kali ganda ketika pandemik COVID-19. HARAPAN akan menambah peruntukan program sarapan percuma sedia ada bagi golongan yang memerlukan.
- Ini amat penting bagi lebih 500,000 penerima supaya mereka dibekalkan dengan nutrisi yang diperlukan ketika memulakan sesi persekolahan setiap hari, sepanjang tahun.
2. Pasca-Pandemik, Menurunkan Kadar ‘Lost Generation’
- Untuk memulihkan jurang pembelajaran kerana penutupan sekolah akibat pandemik COVID-19, belanjawan khas akan diperuntukkan untuk menilai tahap kemampuan 3M (Membaca, Menulis, Mengira) di seluruh negara.
- Dalam masa yang sama untuk memastikan golongan yang tertinggal terutama mereka dari latar belakang miskin dan pedalaman (lost generation) tidak terus tercicir, elaun khas akan diperuntukkan sebagai sokongan tambahan kepada para guru untuk menjalankan pelan pemulihan yang sesuai dan efektif agar kadar keciciran dapat diturunkan
3. Kurangkan Sekolah Daif
- Jurang infrastruktur di antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak bermakna jurang pendidikan tidak pernah menjadi keutamaan walau Malaysia merdeka lebih dari 60 tahun yang lalu.
- Untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diberikan kepada semua anak Malaysia termasuk anak-anak di Sabah & Sarawak, pembaikan sekolah daif akan menjadi teras Reformasi Pendidikan termasuk meningkatkan perbelanjaan pembinaan bangunan baharu melalui pembinaan modular dan IBS serta penyelenggaraan bangunan sekolah yang lebih efisien dalam kadar segera.
4. Ringankan Beban Guru
- Untuk memastikan kualiti pendidikan dapat disampaikan di dalam kelas dengan cemerlang, keutamaan harus dimulakan dengan membina persekitaran yang menyokong para guru.
- Guru tidak boleh lagi dibebani dengan birokrasi yang melampau untuk memastikan mereka kembali fokus kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
- Untuk jangka masa pendek, pertindihan prosedur dan laporan sedia ada akan diperkemas.
- Bagi jangka masa panjang pula, peruntukan yang mencukupi akan dipertimbangkan untuk melantik pembantu pengajar yang sesuai untuk membantu para guru melaksanakan tugas pentadbiran mereka.
5. Program Silang Budaya
- Sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan budaya yang menjadi contoh kepada dunia luar, Malaysia perlu terus mengekalkan identiti dan kelebihan ini untuk terus diwariskan kepada anak bangsa.
- Untuk memupuk perpaduan lebih awal di kalangan generasi muda, program silang budaya akan dilaksanakan bagi pelajar sekolah-sekolah kebangsaan, sekolah vernakular dan sekolah agama.
6. Peruntukan Adil
- Untuk membantu setiap golongan yang mempunyai keperluan yang berbeza, peruntukan yang adil akan disalurkan kepada semua sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Mubaligh, Sekolah Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat & Sekolah Agama Persendirian, Sekolah Pondok yang berdaftar, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
7. Bahasa Etnik
- Keupayaan mengajar bahasa etnik di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan diperluas untuk memelihara warisan dan memastikan lebih ramai guru dilatih dan diberi pendedahan sebagai usaha berterusan membina generasi yang lebih berbudaya.
8. Pengiktirafan Sijil UEC
- Meneruskan usaha untuk mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM.
- Untuk tujuan ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.
Pendidikan Tinggi
9. Mansuhkan AUKU
- Untuk menyelia Reformasi Pendidikan yang berterusan, autonomi kepada pentadbiran Universiti & Institut Pengajian Tinggi harus menjadi keutamaan. Untuk itu AUKU akan dimansuhkan dan pemegang taruh dalam hal tadbir urus akan dikembalikan semula kepada pelajar, pensyarah dan alumni.
10. Pengampunan Hutang PTPTN Bersasar
- Untuk mengatasi masalah pinjaman pendidikan tidak munasabah dalam kalangan siswa termasuk keberhutangan PTPTN pula, Program Pemansuhan Hutang bersasar khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40 akan diperkenalkan.
- Jadual pembayaran semula PTPTN pula akan dilaksana berasaskan gaji bagi graduan baharu bermula RM4,000 dengan peratusan meningkat mengikut gaji
11. Biasiswa B40
- Dalam masa yang sama, lebih banyak biasiswa akan diperkenalkan mencakupi golongan B40 untuk mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman PTPTN.
12. Menambah Peluang
- Memastikan semua pelajar SPM & STPM yang cemerlang berpeluang ke IPTA untuk memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak yang benar-benar layak mengikut pencapaian.
KETAHANAN BENCANA
13. Rancangan Infrastruktur Dan Pembangunan Lestari
- Mengutamakan rancangan infrastruktur saliran dan tebatan banjir serta pembangunan lestari. Projek tebatan banjir di kawasan cenderung banjir harus merangkumi pembangunan infrastruktur ekologi dan menambah baik sistem perparitan serta tumbuh-tumbuhan untuk laluan pejalan kaki dan bumbung awam.
14. Skim Perlindungan Bencana Nasional
- Bayaran bantuan mengikut nilai kegurian sehingga RM50,000 untuk setiap rumah yang terkesan dari bencana.
15. Memperkukuh NADMA
- Menyemak semula struktur dan memperkukuh operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk meningkatkan kapasiti mengurus dan mengurangkan risiko bencana dan memberikan amaran awal.
16. Kesiapsiagaan Banjir Dan Bencana
- Menyelaras dan merangka pelan kesiapsiagaan banjir dan bencana menyeluruh yang menggariskan tanggungjawab setiap peringkat kerajaan dan memastikan sumber mencukupi diperuntukkan bagi usaha mencegah, menyelamat, menyalur bantuan dan mengurus pemulihan.
- Pertimbangan khusus antaranya kepada golongan rentan, gelandangan, OKU dan warga tua.
PEMELIHARAAN ALAM SEKITAR
17. Akta Perubahan Iklim
- Menggubal Akta Perubahan Iklim yang menetapkan sasaran pelepasan karbon dan liputan hutan menjelang 2040. Usaha dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan tetapi tergendala setelah Perikatan Nasional dan Barisan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
18. Pemindahan Fiskal Ekologi
- Memanfaatkan mekanisme Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) dengan menambahkan peruntukan dana pembiayaan hutan sekurangkurangnya RM1 bilion kepada kerajaan negeri sebagai insentif untuk tidak menyahwarta hutan simpan.
19. Kawasan Perlindungan Marin
- Meningkatkan peratusan Kawasan Perlindungan Marin kepada 30 peratus menjelang 2030 untuk melindungi kawasan berharga ini secara sah daripada dieksploitasi.
20. Akta Jerebu Rentas Sempadan
- Menggubal Akta Jerebu Rentas Sempadan dan memperkasa kerangka kerjasama antara negara jiran serantau bagi penguatkuasaan undangundang berkaitan pencegahan pencemaran.
EKONOMI MADANI
21. Tenaga Boleh Diperbaharui
- Meningkatkan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui untuk mencapai sasaran 50 peratus daripada campuran jumlah bekalan tenaga utama (TPES) negara. Lebih banyak insentif akan diberikan kepada premis persendirian termasuk perumahan untuk beralih kepada tenaga solar.
22. Pengurangan Jejak Karbon
- Mendorong projek hijau dan memastikan 20% daripada 10,500 premis awam untuk diperuntukkan bagi projek pemasangan tenaga cekap dan tenaga boleh diperbaharui sebagai sebahagian perbelanjaan infrastruktur berskala besar. Ini akan mengurangkan jejak karbon kerajaan dan merangsang kegiatan ekonomi serta meningkatkan peluang pekerjaan hijau.
MERANCAKKAN PERINDUSTRIAN
23. Fasilitasi Industri
- Mempermudah proses perniagaan dan perdagangan dengan mengurangkan kerenah birokrasi melalui fasilitasi berterusan oleh agensi-agensi kerajaan seperti MIDA, MATRADE, SME Corp, MPC, MIDF dan sebagainya.
24. Dana Strategik
- Memperkenalkan lebih banyak dana strategik yang mengukuhkan kapasiti syarikat milik Malaysia untuk melibatkan diri dalam pelaburan langsung domestik.
- Dalam semangat yang sama seperti Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF), dana tersebut harus membenarkan syarikat domestik menaik taraf peralatan jentera (automasi), meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja melalui inisiatif latihan dan mencapai pensijilan antarabangsa bagi produk mereka.
25. Insentif Eksport
- Menyediakan lebih banyak insentif eksport untuk menggalakkan perdagangan antarabangsa, seperti insentif cukai untuk potongan tiga kali ganda ke atas perbelanjaan yang berkaitan dengan perjalanan perniagaan untuk menggalakkan eksport; menyediakan geran dan insentif untuk pengiklanan dalam talian atau kempen pemasaran syarikat tempatan untuk meningkatkan jualan mereka di luar negara.
26. Zon Perdagangan Bebas
- Mewarta Zon Perdagangan Bebas di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), POIC Lahad Datu dan Sandakan serta Taman Perindustrian Minyak & Gas Sipitang (SOGIP) bagi menarik pelaburan di wilayah Sabah.
27. Naik Taraf Infrastruktur
- Menaik taraf infrastruktur asas di semua taman perindustrian termasuk air, elektrik, sistem pembentungan dan jalan perhubungan bagi memastikan taman perindustrian kekal kompetitif bagi menarik pelaburan dan industri.
MEMPERKASA PMKS (MSME) & USAHAWAN
28. Sumber Tenaga Kerja
- Menangani kekurangan buruh dengan memperkemas proses pengambilan pekerja asing bagi memastikan operasi PMKS berterusan tanpa sebarang gangguan.
29. Pusat Pendigitalan Sehenti
- Menubuhkan Pusat Pendigitalan Sehenti untuk membantu perniagaan kecil dan sederhana memohon insentif pendigitalan bagi memastikan transformasi digital berjalan lancar di kalangan PMKS.
30. Peningkatan Produktiviti
- Menyediakan insentif atau geran bagi penyelesaian produktiviti khusus untuk PMKS dalam meningkatkan produktiviti buruh dan kecekapan penggunaan modal.
- Perbelanjaan yang layak termasuk pembelian peralatan teknologi, alat/penyelesaian pemasaran digital, perundingan dan perkhidmatan teknikal.
31. Pembiayaan Modal Teroka
- Meningkatkan peruntukan untuk pembiayaan modal teroka (VC) secara berkala bagi menggalakkan usahawan dalam bidang teknologi tinggi memulakan operasi PMKS mereka.
MEMACU EKONOMI SUKAN
32. Destinasi Latihan Sukan
- Menaiktaraf kompleks sukan terpilih untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi latihan sukan berprestasi tinggi. Fasiliti sukan ini akan dilengkapi dengan teknologi terkini yang membolehkan atlet menjalani proses latihan dan rehabilitasi sukan yang canggih.
- Atlet-atlet ini kelak dapat menerima pengalaman latihan dan rehabilitasi sukan yang lebih berkualiti.
33. Memanfaatkan Keunikan Ekosistem e-sukan
- Ekosistem e-sukan yang sedia ada perlu digunapakai dengan sepenuhnya. Penggabungan acara tahunan berskala besar seperti Level-Up dan EPIC bakal menarik minat seluruh ekosistem e-sukan dan juga gergasi seperti Valve dan juga Tencent untuk turut serta.
- Melibatkan pemegang taruh e-sukan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa dengan mengadakan perbincangan berkala tentang polisi dan perubahan bagi menyokong ekosistem e-sukan.
34. Sokongan Pelancongan Sukan
- Memperkemas dan mendigitalkan proses permohonan visa bagi atlet sukan antarabangsa dan atlet e-sukan selain memberikan sokongan kepada kejohanan-kejohanan e-sukan.
- Ini dapat memberi sokongan kepada pembangunan industri pelancongan sukan lantas memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa yang terdapat di seluruh negara.
35. Kemahiran Urus Kerjaya
- Mempersiapkan atlet termasuk e-sukan yang berpotensi dengan pengetahuan dan kemahiran insani. Pada awal pembabitan mereka, atlet akan didedahkan dengan ilmu pengurusan kewangan dan kemahiran berkomunikasi.
- Ini akan dapat membantu bagi melahirkan ekosistem sukan dan e-sukan yang benar-benar berfungsi.
36. Sukan Untuk Semua
- Memudahkan akses rakyat kepada kemudahan dan infrastruktur sukan agar budaya sukan dapat diterjemahkan sebagai realiti.
37. Bakat Akar Umbi
- Membuka ruang dan peluang kepada bakat sukan di peringkat akar umbi untuk menyertai sukan secara lebih terbuka.
38. Peralihan Atlet Pasca Aktif
- Memeterai kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bagi melaksanakan program latihan kemahiran dan kerjaya khusus buat bekas atlet bagi menjamin kehidupan mereka ketika persaraan.
PEMBANGUNAN INDUSTRI KREATIF DAN BUDAYA NEGARA
39. Dasar Industri Kreatif Negara
- Korea Selatan adalah antara contoh terbaik yang memanfaatkan seni dan budaya untuk memperkenalkan negara dan produk mereka sehingga menyumbang kepada pembangunan ekonomi keseluruhannya.
- Sebagai negara yang rencam dengan budaya pelbagai etnik, Malaysia berpotensi menawarkan karya seni dengan daya tarikan yang unik. Untuk itu satu Pasukan Petugas Khas bakal ditubuhkan untuk membuat kajian menyeluruh tentang hala tuju industri kreatif negara sebagai pemangkin pembangunan negara yang melibatkan FINAS, ASWARA, SENIMAN dan pemegang taruh yang lain.
- Dasar industri Kreatif Negara ini akan dirangka secara menyeluruh bagi memperkasa seni muzik, filem dan seni kreatif lain dengan mencerminkan kepelbagaian seni dan budaya masyarakat kita termasuk etnik-etnik di Sabah dan Sarawak.
40. Hub Penggambaran Filem
- Menjadikan Malaysia sebagai hub penggambaran filem yang memberi impak positif kepada industri perkhidmatan dan ekonomi penduduk setempat.
41. Kesejahteraan Penggiat Seni
- Untuk memastikan kebajikan penggiat dan pemain industri kreatif dalam jangka masa panjang, sistem jaringan keselamatan sosial untuk golongan ini akan diperkukuh.
42. Penubuhan Badan Bebas Filem
- Menubuhkan badan bebas, profesional, telus dan bertanggungjawab bagi ahli industri, artis dan masyarakat sivil yang berkelayakan untuk mengawal selia filem dan menambahbaik struktur sedia ada.
43. Mempermudah Sistem Pelesenan
- Meminda sistem pelesenan dan rangka kerja undang-undang untuk mengurangkan beban yang tidak sepatutnya ke atas penggiat seni tempatan. Ini termasuk sekatan ke atas kapasiti kreatif sehingga menyebabkan ruang kerja seni dan budaya itu produk yang tidak bebas lagi.
44. Dana Budaya Kreatif Untuk Sekolah
- Untuk menggalakkan murid-murid di sekolah mempunyai peluang terlibat dengan proses seni dan kreatif sejak di bangku sekolah dan mempromosikan seni dan budaya sebagai alat pendidikan, sejumlah dana akan diperuntukkan sebagai dana latihan budaya.
MENJAMIN KESEJAHTERAAN DAN DAYA SAING RAKYAT MALAYSIA
45. Masalah Tiada Kewarganegaraan
- Menyelesaikan masalah tiada kewarganegaraan masyarakat India (stateless Indians) dan masyarakat lain, yang akan diselaraskan melalui satu jawatankuasa khas di bawah JPM dan laporannya dibentangkan di Parlimen dan disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas di Parlimen.
- Jawatankuasa Khas ini juga akan menyelaraskan bantuan-bantuan segera mengikut keperluan kepada golongan ini sehingga proses kewarganegaraan diselesaikan.
46. Sokongan Keluarga
- Bantuan tunai kanak-kanak setiap bulan dari lahir hingga umur 6 tahun untuk mengatasi isu kekurangan nutrisi dalam fasa penting perkembangan bagi mengelakkan gejala bantut.
47. Hapuskan Diskriminasi
- Menangani segala bentuk halangan diskriminasi terutamanya dalam sektor pendidikan, di tempat kerja dan dalam hal penyewaan kediaman.
48. Akses Pendidikan Dan Latihan
- Meningkatkan akses kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan penempatan untuk latihan berasaskan kemahiran (TVET) untuk belia daripada komuniti-komuniti ini.
49. Pembangunan Sosioekonomi
- Menyemak semula unit pembangunan sosioekonomi seperti MITRA dan memperkenal Dana khas “Makkal Malarchi” untuk pembangunan sosial, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
- Memperkasa program-program sokongan dengan kuota minimum 40% untuk wanita dan OKU bagi tujuan latihan kemahiran, geran untuk perniagaan kecil dan industri di rumah.
50. Pemilikan Rumah Sendiri
- Menyelesaikan masalah perumahan yang dihadapi komuniti ini khususnya pekerja ladang dan bekas pekerja ladang dan perkampungan Orang Asli yang kehilangan tempat tinggal. PBT dan kerajaan negeri akan mewajibkan pemaju perumahan untuk membina rumah bagi mereka berdasarkan konsep rumah ganti rumah.
51. Peluang Ekonomi Dan Perniagaan
- Bantuan bagi meningkatkan penyertaan dalam perniagaan, pertanian dan penternakan. Inisiatif termasuk penyediaan skim kredit mikro dan skim sokongan pendanaan, latihan, sokongan konsultasi pentadbiran dan kawal selia dengan kuota minimum 40% untuk golongan wanita dan OKU.
52. Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)
- Mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (Royal Commission of InquiryRCI) untuk menyiasat salah guna kuasa dan rasuah bagi dana-dana yang dikhaskan untuk pembangunan sosio-ekonomi seperti Maika Holdings, MIED, SEED, SEDIC, NAAM, Penjana Kerja dan MITRA, dan seterusnya akan memastikan semua pesalah laku dibawa ke muka pengadilan.
MEMBELA NASIB ORANG ASAL (SABAH & SARAWAK DAN SEMENANJUNG MALAYSIA)
53. Perkukuh Hak Tanah Adat
- Membela martabat Orang Asal dan memperkukuh hak tanah adat (native customary rights to land) dengan meminda undang-undang dan dasar yang berkaitan.
54. Tribunal Tanah
- Menubuhkan satu Tribunal Tanah (Land Tribunal) untuk mengendalikan pertikaian Hak Tanah Adat.
55. Penyerahan Geran Tanah
- Mempercepatkan proses penyerahan geran tanah kepada Orang Asal yang layak memiliki, dan pengiktirafan hak pegangan tanah adat. Memastikan rakyat memperoleh Geran Tanah menerusi Program Khas Perkhidmatan Negeri Sabah (PANTAS), dengan peruntukan sebanyak RM100 juta setiap tahun sehingga masalah diselesaikan.
56. Mahkamah Anak Negeri Sabah
- Memperkasa dan memperjuang autonomi dan kebebasan Mahkamah Anak Negeri Sabah dengan mewujudkan Jabatan Kehakiman Anak Negeri. Mengiktiraf dan memberi pensijilan kepada kakitangan Mahkamah Anak Negeri menerusi Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN).
57. Izin Maklum Awal Bebas Dan Telus
- Menerima pakai prinsip Izin Maklum Awal Bebas dan Telus (Free, Prior and Informed Consent) dalam rancangan pembangunan kerajaan yang melibatkan wilayah Orang Asal.
Sumber: ecentral.my