Politik

PART 1: JANJI MANIFESTO PAKATAN HARAPAN

10 Keutamaan Tawaran Harapan

MENANGANI ISU KOS SARA HIDUP

1. Hapuskan Kartel

  • Kita boleh menghapuskan kartel dalam sektor bahan makanan dan keperluan asas bagi menggalakkan persaingan dan membasmi kegiatan kaut keuntungan melampau (profiteering). Tanpa kartel, peluang juga dapat diwujudkan untuk usahawan baharu menceburkan diri dalam sektor bahan makanan dan keperluan asas.

2. Bekalan Cukup

  • Mewujudkan kerjasama dengan pihak pembekal supaya bekalan barangan makanan sentiasa mencukupi. Usaha ini perlu terutama sekali ketika musim perayaan di mana isu kehabisan bekalan sentiasa menjadi punca kepada kenaikan harga barangan.

3. Insentif Tingkat Pengeluaran

  • Memberikan insentif yang secukupnya untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan dan keperluan asas supaya tekanan kenaikan harga boleh dikurangkan dalam jangka masa panjang. Lebih pengeluaran bermakna harga dapat dikurangkan.

4. Mengkaji Semula Konsesi Lebuhraya

  • Kerajaan HARAPAN telah menunjukkan komitmen dengan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik, dengan pencapaian pengurangan 18% kadar tol bagi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) termasuk Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2).
  • HARAPAN bertekad untuk meneruskan pengurangan tol PLUS secara berperingkat dengan matlamat akhir penghapusan tol dan pengembalian lebuhraya PLUS kepada milik awam.

JAMINAN KESELAMATAN MAKANAN

Sekuriti Makanan

5. Reformasi Tanah Pertanian

  • Kita boleh melaksanakan reformasi tanah pertanian melalui Majlis Tanah Negara dengan kerjasama kerajaan negeri untuk memudahkan petani dan penternak memohon atau memajak tanah untuk tujuan pertanian atau penternakan.

6. Pertanian Moden Dan Pintar

  • Meningkatkan dan menggalakkan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian menerusi geran atau pinjaman mudah. Memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pertanian dan agromakanan serta meningkatkan pengkomersialan hasil-hasil penyelidikan.

7. Malaysia Sebagai Negara Eksport Pertanian

· Mengenal pasti beberapa produk pertanian yang berpotensi untuk dimajukan untuk pasaran eksport demi meningkatkan pendapatan para petani. Kita akan berusaha memperluaskan pasaran global untuk produk pertanian Malaysia.

8. Menarik Pelaburan dan Agropreneur Muda

  • Memudahcara pelepasan cukai untuk pelaburan dalam sektor pertanian sama ada syarikat atau petani kecil. Memperkasa Program Agropreneur Muda dan program padanan bakat antara industri dan anak muda yang berminat berkecimpung dalam sektor pertanian moden.

Kebajikan Kaum Petani, Nelayan Dan Penternak

9. Kita boleh memperluas jaringan keselamatan sosial semua petani, nelayan dan penternak secara berperingkat dalam lima tahun. Mengalihkan subsidi “input” ke subsidi “output” secara berperingkat demi menggalakkan peningkatan pengeluaran. HARAPAN akan meningkatkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan kepada RM500 per tan. Kad Subsidi atau e-wallet akan diperkenalkan untuk memberi kebebasan petani membeli input pertanian.

MEMBASMI KEMISKINAN

Membasmi Kemiskinan Di Setiap Peringkat

10. Pembiayaan Mikro-kredit

  • Kita boleh membendung kemiskinan di setiap peringkat. Pendekatan mikro-kredit melalui penambahan dana untuk Amanah Ikhtiar Malaysia dan Yayasan Usaha Maju bagi membuka peluang golongan rentan menceburi bidang keusahawanan untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

11. Bantuan Sara Hidup (BSH) Dan Sarapan Percuma

  • Meneruskan program Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk membantu mengatasi kos sara hidup. Sarapan percuma untuk semua pelajar di sekolah juga akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah keciciran di sekolah melibatkan pelajar miskin.

12. Membina Keluarga Bahagia

  • 1 daripada 5 kanak-kanak bawah lima tahun mengalami masalah bantut. Bantuan bulanan untuk setiap keluarga akan diberi mengikut bilangan anak yang berumur di bawah 6 tahun bertujuan meringankan beban keluarga miskin dan memastikan pertumbuhan kanak-kanak sihat dan tidak terbantut.

13. Tiada Keciciran

  • Bekerjasama dengan setiap Ahli Parlimen untuk mengenal pasti komuniti tersasar dalam semua program pembasmian kemiskinan kerajaan Persekutuan seperti “MySalam” dan “Program Kasih Suri Malaysia”.

Kemiskinan Bandar

14. Rumah Mampu Milik, Mampu Sewa

  • Mewujudkan rumah mampu milik, mampu sewa, kos rendah dan kos sederhana, serta rumah transit di lokaliti yang perlu.

15. Akses Kesihatan Komuniti

  • Mewujudkan lebih banyak klinik kesihatan di kawasan padat dan mempunyai insiden kemiskinan tinggi. Meluaskan program penjagaan kesihatan yang menekankan perkhidmatan pencegahan penyakit merangkumi saringan rumah ke rumah di pangsapuri kos rendah.

16. Ruang Selamat dan Dapur Komuniti

  • Cabaran terbesar untuk golongan miskin bandar khususnya ibu atau bapa tunggal adalah dalam menyediakan ruang selamat untuk anakanak di luar waktu persekolahan.
  • HARAPAN akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan ruang selamat sebagai tempat anak-anak ini belajar dan bersosial.
  • Dapur komuniti juga akan diwujudkan bagi menyediakan makanan untuk anak-anak dan membantu meringankan beban keluarga miskin.

17. Kepolisan Masyarakat

  • Inisiatif membasmi kemiskinan perlu berjalan seiringan dengan usaha meningkatkan kualiti hidup golongan miskin bandar. Model Rukun Tetangga boleh diamalkan di kawasan perumahan kos rendah dengan peruntukan yang bersesuaian.
  • Amalan kepolisan masyarakat bukan sahaja menjamin keselamatan setempat tetapi juga membantu mengatasi gejala sosial selain memupuk keterlibatan masyarakat dalam aktiviti komuniti

MENJAMIN KEBAJIKAN PEKERJA

18. Dasar Gaji Minimum

  • Pelan dasar gaji minimum yang tersusun bagi mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi. Pelan ini perlu dilaksanakan dengan sokongan yang tersusun bagi memastikan ketersediaan semua pihak.

19. Menangani Halangan Diskriminasi

  • Dalam membina Malaysia yang lebih harmoni, halangan berbentuk diskriminasi perlu dicantas. Ianya tidak terhad kepada diskriminasi dari segi kaum, agama, jantina, keupayaan fizikal dan mental tetapi juga perlu merangkumi jurang pendapatan antara jantina.

20. Jaminan Keselamatan Sosial

  • Untuk memenuhi keperluan konsep pekerjaan baharu contohnya ekonomi gig, jaminan keselamatan sosial akan diwujudkan bagi melindungi kebajikan pekerja gig.
  • Ini meliputi penubuhan badan kawal selia, kontrak perjanjian, skim insurans hayat percuma dengan pampasan khairat kematian sebanyak RM10,000 untuk 6 juta pekerja gig.

21. Elaun Khas Kehilangan Pekerjaan

  • Memperluas elaun khas kepada golongan yang hilang pekerjaan kepada pekerja kontrak selagi mereka masih aktif mencari pekerjaan baharu.

22. Menangani Kemiskinan Persaraan

  • Bagi mengelak krisis kemiskinan dalam persaraan (85% warga emas dalam golongan B60), usaha awal perlu dibuat untuk menambah simpanan hari tua.
  • Kita boleh memperkenalkan pendaftaran automatik akaun KWSP tanpa mengira umur, pemerkasaan I-saraan termasuk insentif pemula untuk caruman sukarela kali pertama dan membenarkan caruman pihak ketiga bagi menggalakkan ibu bapa memulakan tabungan untuk anak-anak.

KEDIAMAN HARAPAN UNTUK RAKYAT

23. Mampu Milik, Mampu Sewa

  • Penyediaan rumah mampu milik, mampu sewa, kos rendah dan kos sederhana yang cukup di lokaliti yang memerlukan. Kami akan memperbanyakkan skim rent-2-own (sewa untuk beli) untuk rakyat yang ingin membeli dengan cara sewa dan memperbanyakkan rumah transit di kawasan strategik.

24. JaminPinjam

  • HARAPAN akan memperkenalkan semula dana RM3 bilion untuk menjamin pembiayaan rumah bagi pembeli rumah pertama membeli rumah mampu milik.

25. Peluang Pemilikan

  • Untuk penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR), peluang akan diwujudkan untuk mereka memiliki rumah tersebut bagi memastikan golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman harapan mereka sendiri.

26. Tribunal Khas Perumahan

  • Bertujuan melindungi hak dan kepentingan setiap pemilik rumah dan penyewa. Kami komited untuk meluaskan peranan tribunal bagi merangkumi kepentingan penyewa.

27. Ambil Alih Selenggara

  • Kebanyakan pangsapuri kos rendah berdepan pelbagai masalah akibat penyelenggaraan yang tidak cekap. Bagi memastikan setiap rumah kekal menjadi syurga kepada pemiliknya, kami akan mengambil alih penyelenggaraan bagi membantu mewujudkan persekitaran kediaman yang berkualiti dan selamat.

28. Pengecualian Duti Setem 100%

  • HARAPAN akan memperluaskan pengecualian duit setem 100% untuk pemilik rumah kali pertama bagi hartanah di bawah RM500,000 agar merangkumi pemilikan unit subjualan.

MEMPERKASA PELUANG EKONOMI BELIA

29. Biasiswa B40

  • HARAPAN akan memperkenalkan Biasiswa B40 bagi mengurangkan kebergantungan golongan kurang berkemampuan kepada kemudahan pinjaman seperti PTPTN.

30. Biasiswa Perintis

  • HARAPAN juga akan memperkenalkan Biasiswa Perintis dan peluang ‘upskilling’ bagi golongan belia yang berminat menceburi bidang ekonomi baharu seperti industri penjagaan – “caretaker, caregiver bagi kanak-kanak, warga emas dan OKU”, sektor pertanian moden dan sektor hijau.

31. Sistem Perkembangan Kerjaya

  • Untuk pekerja buruh kasar dan ekonomi gig, sistem perkembangan kerjaya akan diperkenalkan. Syarikat penyedia ekonomi gig diberikan insentif khas sekiranya membangunkan kemahiran dan kerjaya pekerja ekonomi gig manakala lepasan SPM dan ke bawah diberi galakan untuk menceburi pengajian dalam bidang TVET.

32. Pertumbuhan Keusahawanan

  • Kita boleh menggalakkan pertumbuhan sektor keusahawanan di kalangan golongan belia dengan menyediakan dana khusus, skim latihan dan langkah pemudah cara bagi belia yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

BELIA HARAPAN NEGARA

33. Kad Belia

  • Kad Belia adalah naik taraf dari Kad Siswa sedia ada dan akan digunakan oleh anak muda berumur antara 13 hingga 25 tahun. Pemegang kad akan mendapat faedah promosi dan diskaun di tempat perniagaan terpilih.

34. Kembara Siswa

  • Bertujuan meringankan beban mahasiswa yang mahu pulang ke kampung halaman terutamanya sewaktu musim perayaan. Kembara Siswa akan menyediakan tiket pada kadar harga tetap (RM199) untuk penerbangan di antara Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya dengan had 2 tiket setahun bagi setiap mahasiswa.

35. Penyediaan Rumah

  • Bagi membantu meringankan beban komitmen perumahan di kalangan belia, HARAPAN akan mengusahakan penyediaan rumah transit belia, rumah mampu milik, mampu sewa, kos rendah dan kos sederhana yang mencukupi di lokaliti yang memerlukan.

36. Akses Sukan Dan Rekreasi

  • Meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi agar wujud keseimbangan kehidupan dan kerja. Memperbanyakkan ruangruang awam seperti taman-taman rekreasi, kemudahan sukan awam, perpustakaan, pusat sumber digital, dan ruang acara (event space) untuk kegunaan anak muda dengan lebih meluas.

37. Kebebasan Aktivisme

  • Menjamin kebebasan untuk aktivisme anak muda serta menggalakkan pertumbuhan badan-badan sosial, kebajikan dan aktiviti intelektual awam yang diterajui anak muda atau belia.

38. Akaun Latihan Kemahiran

  • Membuka akaun “Latihan Kemahiran” (Skills Training Account) untuk pekerja belia yang berusia 18 hingga 30 tahun di bawah HRD Corp dengan RM500 yang boleh digunakan untuk latihan sepanjang umur.

MENAIK TARAF BIDANG TEKNIKAL DAN VOKASIONAL (TVET)

39. ‘Zero Reject Policy’

  • Melaksanakan dasar ‘Tiada Diskriminasi, Tiada Penolakan’ untuk semua pendaftaran ke dalam sistem TVET.

40. Penyelaras Bebas

  • Menubuhkan badan kuasa berpusat bebas dengan penglibatan Persatuan-persatuan Perdagangan dan Persatuan-persatuan Pengamal untuk menguruskan institusi TVET. Ini secara tidak langsung memastikan bahawa proses akreditasi dapat diselaraskan.

41. Kerjasama Industri Melalui Konsep ‘Place to Train’

  • Bekerjasama dengan pemain industri yang memberi khidmat dalam sektor berkaitan TVET untuk melatih para pelatih berdasarkan konsep menempat dan melatih(‘Place to Train’) dan memberi mereka akreditasi yang setimpal.
  • Lebih banyak pusat latihan TVET akan dibina di kawasan yang tidak mempunyai rakan strategik industri yang relevan untuk memudahkan akses kepada latihan

42. ‘OpenCreds’

  • Menggunakan rangka kerja ‘OpenCreds’ untuk memudahkan dan memperkasa pelajar TVET, perantis, pengamal, jurulatih, dan pekerja profesional supaya mereka dapat memperoleh dan mencapai akreditasi akademik setara sarjana muda dan seterusnya dalam bidang kerjaya mereka di masa depan.

43. ‘School to Work Transition’

  • Memudahkan program peralihan ‘Sekolah Ke Tempat Kerja’ untuk melahirkan lebih ramai pelajar sekolah terlibat secara terus dengan dunia pekerjaan dan berpeluang untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih bermaruah berdasarkan kemahiran.

EKONOMI MANUSIAWI

44. Sektor Penjagaan Profesional

  • Memprofesionalkan sektor penjagaan supaya ia diberi tahap dan darjat penghormatan yang tidak kurang daripada sektor-sektor kesihatan berkepakaran yang lain seperti kejururawatan, fisioterapi.
  • Pembinaan kapasiti dan latihan untuk mencapai Nisbah Sokongan Penjaga (Caregiver Support Ratio-CgSR) yang setimpal dengan negara tua menjelang 2035.

45. Institusi Bantuan Dan Elaun Penjaga

  • Menginstitusikan bantuan dan elaun penjaga bagi golongan yang terpaksa berhenti kerja kerana diperlukan untuk memenuhi kewajiban menjaga anggota keluarga yang ditimpa musibah.

46. Mobile Care

  • Perkhidmatan Penjagaan Bergerak (Mobile care) – Menggabungkan agenda penjagaan di tempat kediaman (in-situ) bagi golongan yang kehilangan kapasiti.

47. Fasiliti Penjagaan Sehenti

  • Fasiliti penjagaan sehenti juga akan dijadikan syarat pembangunan mengikut nisbah penduduk sepertimana taman permainan dan tempat ibadat adalah sebahagian daripada syarat perancangan pembangunan.

48. Insentif Institusi Kekeluargaan

  • Memperkasakan institusi kekeluargaan dengan menggalakkan melalui insentif kepada keluarga yang berkediaman bersama warga emas.

49. Intervensi Strategik

  • Bagi golongan miskin bandar dan penduduk di kawasan terpencil, intervensi strategik untuk menyelaraskan kerjasama antara agensi dan institusi perkhidmatan kesihatan awam primer, penjaga sukarelawan, penjaga lapangan bertauliah, pihak berkuasa tempatan dan NGO.
  • Kolaborasi juga merangkumi pemimpin masyarakat, institusi akademik, sektor swasta bagi membudayakan pemeriksaan kesihatan berkala serta penyampaian perkhidmatan penjagaan bergerak.

MENJAMIN KESEJAHTERAAN KANAK-KANAK

50. Manfaat Kanak-kanak Sejagat

  • Isu kanak-kanak bantut di negara ini sangat kritikal sehingga ianya dilaporkan lebih teruk daripada kadar kanak-kanak bantut di Gaza dan Iraq pada hari ini.
  • Harga susu yang sangat mahal telah menyebabkan ramai ibu bapa tidak mampu memberikan susu dan makanan berkhasiat untuk 1,000 hari pertama setelah bayi mereka lahir.
  • Untuk mengatasi masalah ini, setiap bayi yang baru lahir akan diberikan manfaat tunai yang akan didepositkan secara bulanan ke dalam akaun ibu bapa sehingga mereka berumur 6 tahun.

51. Jaminan Kerakyatan

  • Membuat pindaan terhadap Perkara 15(2) bagi menjamin kerakyatan bagi kanak-kanak yang lahir di Malaysia kepada salah seorang ibu atau bapa warga Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.
  • Perkara 14(1) (b) dalam Perlembagaan Persekutuan juga akan dilaksanakan pindaan agar ibu warga Malaysia yang melahirkan anak di luar negara dapat menurunkan kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka seperti kaum bapa dan memberi manfaat berpanjangan kepada anak tersebut.
  • Dalam masa yang sama pindaan juga akan dilakukan terhadap undangundang untuk membolehkan kewarganegaraan automatik diberikan kepada anak angkat.

52. Jabatan Kanak-kanak

  • Kesejahteraan kanak-kanak yang semakin terancam akibat pelbagai ancaman seperti penderaan, gangguan seksual dan juga pengabaian memerlukan sebuah penyelesaian konkrit.
  • Dalam masa yang sama peredaran semasa seperti perkembangan media sosial semuanya memberi kesan terhadap pertumbuhan kanak-kanak.
  • Penubuhan Jabatan atau Agensi Kanak-kanak akan mengawal selia ancaman yang wujud dan memastikan kesejahteraan kanak-kanak dipelihara.

53. 1,500 Pelindung Kanak-kanak

  • Mempercepat penambahan 1,500 pelindung kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memastikan nisbah ideal seorang pegawai untuk 30 kanak-kanak dapat direalisasikan segera.
  • Keperluan mendesak ini wujud kerana situasi semasa pada hari ini menyaksikan seorang pegawai mempunyai sehingga 100 kes membabitkan kanakkanak.

54. Penstrukturan Semula Pendidikan Awal Kanak-kanak

  • Sebelum pandemik bermula, peratusan enrolmen untuk kanak-kanak berusia 4 dan 5 tahun masih rendah di tahap 83.5% sahaja. Ketika pandemik melanda, sebanyak 1,394 buah tadika terpaksa ditutup mengakibatkan bilangan kelas untuk prasekolah semakin mengecil. Keadaan ini bertambah meruncing selepas pandemik kerana lebih ramai keluarga yang tidak mampu membayar yuran yang dikenakan.
  • Untuk mengatasi masalah ini dan membina lebih banyak kelas prasekolah, sistem pendidikan awal kanak-kanak perlu distruktur semula untuk mengambil kira semua faktor seperti tahap sosio-ekonomi keluarga serta bantuan-bantuan yang perlu disalurkan untuk memastikan mereka kembali ke dalam kelas dan mula belajar semula.

55. Penubuhan Jawatankuasa Hak Kanak-kanak Di Peringkat Mahkamah Sivil Dan Syariah

  • Penubuhan Jawatankuasa Kanak-kanak di Peringkat Mahkamah Sivil dan Syariah untuk membantu kanak-kanak menyelesaikan pelbagai isu di mahkamah melibatkan mahkamah seperti perkahwinan bawah umur, hak penjagaan anak serta hak lawatan.
  • Dalam konteks semasa, kanakkanak pada hari ini tidak mempunyai representasi peguam di mahkamah dan berpotensi menyebabkan hak-hak mereka diabaikan.
  • Jawatankuasa Hak Kanak-kanak ini akan memastikan kepentingan kanak-kanak sentiasa dipenuhi ketika perbicaraan sedang berlangsung.

56. Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Kanak-kanak 2025

  • Umum mengetahui wujudnya perkahwinan bawah umur ini, namun tidak ramai menyedari kesan negatif perkahwinan bawah umur terhadap kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak perempuan.
  • Oleh yang demikian, usaha dalam Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Kanak-kanak 2025 seperti yang telah dilaksanakan pada Januari 2020 akan diteruskan.

Sumber: ecentral.my