PARIS: Kejayaan meraih pingat perak pada edisi kali ini menghapuskan kenangan pahit yang menghantui jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, setelah penyertaannya dibatalkan kerana kelewatan tiba di bilik panggilan semasa Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Belajar dari insiden itu, atlet berusia 34 tahun ini hadir 20 minit lebih awal ke bilik panggilan di Stade de France sebelum memulakan acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) di Sukan Paralimpik Paris 2024 semalam.
Walaupun tidak berjaya meraih semula pingat emas, Muhammad Ziyad tetap berpuas hati kerana kembali menaiki podium selepas kali terakhir melakukannya di Rio 2016.
“Alhamdulillah, sumbangan pingat perak ini lebih baik daripada tiada langsung. Harapan saya memang tinggi untuk emas, tetapi saya tidak terlalu kecewa kerana sudah memberikan yang terbaik tadi. Kisah yang menghantui saya di Tokyo 2020 kini telah berakhir. Saya rasa lega kerana detik itu menghantui saya selama tiga tahun, tetapi sekarang saya dapat membuktikan dengan pingat perak ini, seakan mimpi pun ada,” katanya kepada Bernama.
Dalam aksi final, Muhammad Ziyad meraih pingat perak dengan lontaran sejauh 17.18 meter, di belakang wakil Ukraine, Oleksandr Yarovyi, yang mencatat rekod dunia baru dengan lontaran 17.61 meter untuk meraih emas. Rakan sepasukan Yarovyi, Maksym Koval, meraih gangsa dengan catatan 16.99 meter.
Selepas pencapaiannya ini, atlet kelahiran Selangor itu bertekad untuk kembali beraksi pada edisi 2028 di Los Angeles dengan sasaran membawa pulang pingat emas buat Malaysia.
“Saya tidak pernah terfikir untuk bersara. Mungkin saya akan terus beraksi di Sukan Paralimpik yang akan datang, bergantung pada keadaan fizikal saya ketika itu, dan akan cuba memberikan yang terbaik. Selepas ini, saya akan berehat seketika dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.
Muhammad Ziyad juga mendedikasikan pingat perak yang dimenanginya kepada bapanya, Zolkefli Othman, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-70 pada 1 September lepas.