![](https://liputanmalaysia.my/wp-content/uploads/2024/09/image-12.png)
KUALA LUMPUR: Lebih 50 peratus tiket untuk acara “Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia 2024” telah terjual sebelum legenda seni bela diri campuran (MMA) yang terkenal dengan julukan ‘The Eagle’ itu membuat penampilan istimewa di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada 29 September ini.
Ketua Pegawai Operasi Faith Events, Munira Mustafa, menyatakan bahawa tiket yang terhad kepada 3,000 tempat duduk telah mula dijual pada 28 Ogos di www.khabibmalaysia.com. Kini, hanya tiket bagi zon Dagestan – Aras 6 (RM159), Undisputed – Aras 5 (RM259), dan Send Me Location – Aras 4 Tengah/Belakang (RM399) masih tersedia.
“Tiket hampir habis dijual, dan kami akan bekerjasama dengan beberapa stesen radio dalam masa terdekat. Dengan promosi ini, kami berharap acara ini akan mencapai ‘sold-out’, insya-Allah,” katanya dalam sidang media hari ini.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Faith Events, Khairul Amar Razali, bersyukur kerana usaha membawa Khabib ke Malaysia yang bermula sejak 2021 akhirnya berjaya, dan Khabib akan menjejakkan kaki di negara ini buat kali pertama.
Khabib, 35, yang menceburi seni mempertahankan diri sejak kecil di bawah bimbingan arwah bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov, membuat penampilan sulung di Ultimate Fighting Championship (UFC) pada 2011. Beliau bersara pada 2021 sebagai juara kelas lightweight yang tidak pernah kalah dengan rekod 29-0. Selain kemahiran bertarungnya, Khabib dianggap sebagai salah satu petarung paling dominan dalam sejarah UFC dan dimasukkan ke dalam UFC Hall of Fame pada Julai 2022.
![](https://liputanmalaysia.my/wp-content/uploads/2022/11/LMAds3.jpeg)