Pengambilan gula yang berlebihan dalam badan akan mempercepatkan proses penuaan. Menurut Pakar Dermatologi, Dr. Nazirin Ariffin, apabila gula terutamanya glukosa diambil secara berlebihan, ia akan melalui proses yang dikenali sebagai glikasi. Proses ini menyebabkan gula mengikat dengan protein seperti kolagen dan elastin di dalam kulit.
Beliau juga menyatakan bahawa proses ini menyebabkan kolagen dan elastin tidak dapat berfungsi dengan baik untuk mengekalkan ketegangan dan keanjalan kulit. Akibatnya, kulit mungkin kelihatan kusam, kendur dan mengalami penuaan pramatang dengan lebih cepat.
“Seperti yang saya katakan tadi, pro-inflammatory, pro-radangan akan terjadi apabila kulit tidak sihat jadi apabila kerapnya berlaku inflamasi pada kulit, lebih cepat proses penuaan berlaku,” ujarnya.
Dr Nazirin dalam pada itu turut mengingatkan rakyat Malaysia agar memilih buah-buahan yang kurang manis.
Walaupun fruktosa dalam buah-buahan semulajadi berbeza dari gula tambahan, pengambilan yang terlalu tinggi boleh meningkatkan risiko glikasi dan kesan negatif lain pada kulit serta kesihatan secara umum.
“Jadi kalau kita pilih buah, kita pilih buah dari kategori kurang manis.
“Contohnya seperti ‘berries’, epal hijau, oren ataupun macam ‘mat salleh’ punya buah iaitu buah-buahan yang biasa ada di luar negeri.
“Ini kerana di Malaysia, banyak jenis buah-buahan yang manis,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan rakyat Malaysia untuk mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dan meningkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks.
Ini termasuk makanan seperti kekacang dan sayur-sayuran yang mempunyai beberapa kelebihan berbanding karbohidrat ringkas seperti gula.
Karbohidrat kompleks dapat dicerna dengan lebih perlahan akan membantu mengekalkan tahap gula darah yang stabil, mengelakkan lonjakan gula darah yang cepat serta memperlahankan proses penghadaman dan penyerapan gula.