Pendapatan bersih Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melonjak 36 kali ganda kepada RM9.7 bilion bagi Tahun Kewangan 2023, mencatatkan angka tertinggi kedua sejak 2017 berbanding RM263 juta pada tahun 2022.
Ketua Pegawai Pelaburannya, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata pertumbuhan pesat ini disebabkan oleh keadaan mencabar pada tahun 2022 yang menyaksikan KWAP mengalami kerugian tidak direalisasi daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.
Dana itu juga mencapai pulangan pelaburan dana yang teguh sebanyak 8.2 peratus bagi tahun ini.
“Pada Tahun Kewangan 2023, saiz dana KWAP meningkat kepada RM169.8 bilion, merupakan kenaikan 7.4 peratus daripada RM158.1 bilion pada 2022,” katanya semasa majlis pengumuman keputusan prestasi kewangan Tahun Kewangan 2023 KWAP, di sini, hari ini.
Hazman Hilmi berkata walaupun terdapat pengeluaran sebanyak RM3 bilion untuk membiayai sebahagian liabiliti pencen kerajaan, peningkatan bersih sebanyak RM11.7 bilion menunjukkan komitmen KWAP untuk menguruskan aset dengan bijaksana dan mengoptimumkan pulangan pelaburan.
Menurutnya, KWAP terus memberi fokus kepada perancangan pelaburan dan pengembangan strategi yang komprehensif serta mengamalkan pendekatan inklusif untuk memastikan pertumbuhan yang mampan.
Untuk Tahun Kewangan 2023, peruntukan aset KWAP adalah seperti berikut: 47.9% dalam ekuiti awam, 35.5% dalam pendapatan tetap, 5.3% dalam hartanah, 4.8% dalam ekuiti swasta, 2.1% dalam infrastruktur dan 4.4% dalam pasaran wang.
“Jumlah sumbangan yang diterima pada 2023 sebanyak RM2.7 bilion adalah daripada tiga sumber utama – sumbangan kerajaan persekutuan, saham kerajaan, dan caruman majikan.
“Caruman majikan termasuk daripada badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, dan agensi peminjam,” katanya.
Selain itu, katanya, KWAP komited untuk mengukuhkan ekosistem modal teroka Malaysia melalui inisiatif Dana Perintis yang dilancarkan pada 2023.
Inisiatif dengan peruntukan RM500 juta ini bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan dalam landskap keusahawanan Malaysia, memperkasakan syarikat baharu, memacu inovasi dan meningkatkan daya tahan ekonomi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata pada 31 Disember 2023, KWAP menyediakan perkhidmatan kepada 790,772 penerima pencen di Malaysia. Ini merupakan kenaikan sebanyak 2.8 peratus, atau 21,825 penerima pencen tambahan berbanding tahun 2022.
“Walaupun peningkatan penerima pencen pada 2023, prestasi perjanjian peringkat perkhidmatan (SLA) untuk perkhidmatan pencen mencapai skor berwajaran tahunan sebanyak 99.4 peratus pada 2023, melepasi ambang prestasi pada 95 peratus seperti yang ditetapkan dalam SLA dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.