Pengarah dan penerbit filem, Othman Hafsham telah dipilih untuk menerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2024 pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA2024). Othman menerima hadiah berupa wang tunai RM10,000, trofi, barang kemas bernilai RM30,000 serta sebuah kereta Proton S70 sebagai pengiktirafan atas sumbangannya kepada industri seni tanah air termasuk usaha beliau memperjuangkan nasib anak seni tempatan.
Selain itu, Saiem Muhammad menerima Anugerah Khas Juri melalui program gastronomi Aroma Puncak Borneo yang membawanya pulang RM8,000, trofi dan barang kemas bernilai RM20,000. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi. Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin.
ASA2024 juga menyaksikan Bernama meraih kategori Majalah Radio Terbaik yang dimenangi oleh Nurliyana Farhah Ruslan melalui siaran “Masih Ada Sinar Buat Pesakit Buah Pinggang” di Bernama Radio. Untuk anugerah kemuncak, Dokumentari TV Terbaik dimenangi oleh Chong Boon Yee menerusi “Taste Of Memory (Season 2)” siaran 8TV yang membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM150,000. Drama TV Terbaik pula dimenangi oleh Azrai Fahmi menerusi “Bahalol” (TV Okey) dan juga menerima RM5,000, trofi serta DKD RM200,000.
Drama “Bahalol” turut mengungguli kategori Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik dan Pelakon Wanita Drama TV Terbaik melalui Sobri Anuar dan Liza Othman. ASA2024 yang bertemakan “Kilauan Prestij, Citra Kegemilangan,” menerima 1,860 pencalonan merangkumi tiga kategori: 1,287 untuk televisyen, 515 untuk radio dan 58 untuk media baharu.
Anugerah ini yang dahulunya dikenali sebagai Anugerah RTM dicetuskan oleh Kementerian Penerangan pada tahun 1972, bertujuan untuk mengiktiraf penggiat penerbitan program radio dan televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ini adalah inisiatif kerajaan untuk memartabatkan penggiat industri kreatif penyiaran tanah air serta mengiktiraf sumbangan pekerja di belakang tabir seperti kru penerbitan, penerbit, pereka, juruhebah, penyampai dan kru teknikal.
Lebih menarik, ASA2024 juga buat pertama kalinya menampilkan pengacara kecerdasan buatan (AI), Ai Van yang berinteraksi secara santai dengan penonton sepanjang malam tersebut.