Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, mengusulkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan kekurangan ahli profesional bertauliah dalam mengendalikan program untuk individu berkeperluan khas terutamanya mereka yang mengidap autisme.
Beliau menyatakan bahawa kementeriannya akan berbincang dengan KPM untuk memberikan pandangan serta cadangan yang relevan dengan harapan isu ini dapat dibawa ke perhatian kabinet untuk tindakan lanjut.
“KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) sentiasa mengambil ruang untuk menyuarakan (isu berkenaan), bukan sahaja permasalahan di Sarawak malah seluruh negara, kita memerlukan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan untuk bersama mengadakan program kesedaran autisme.
“Dari segi itu kita dapat melihat keperluan untuk negara dan pada masa yang sama kita (kerajaan) dapat merancang, membantu mengikut spektrum tertentu. KPWKM dapat membantu dari segi geran, kalau ada ahli profesional atau swasta yang hendak menjalankan aktiviti bagi menganjur program intervensi,” katanya selepas perasmian program Minggu Pemerkasaan Autisme 2024 anjuran Pusat Terapi Let’z Play di sini, hari ini.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Nancy berkata autisme merupakan satu kelainan keupayaan yang berlaku pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak disebabkan oleh kelainan pada saraf otak yang mempengaruhi komunikasi, interaksi sosial serta tingkah laku individu.
“Kajian telah membuktikan bahawa intervensi awal boleh membantu pembelajaran, kemahiran sosial dan emosi dalam kalangan individu autisme.
“Mereka dapat meneruskan kehidupan berdikari sekiranya diberi bimbingan, sokongan serta berpeluang mendapat pendidikan serta kemahiran yang baik dan peluang untuk bekerja secara produktif,” katanya.
Minggu Pemerkasaan Autisme yang sedang berlangsung selama dua hari hingga esok di Muzium Budaya Borneo di sini, memberi kesempatan kepada ibu bapa, penjaga, dan masyarakat untuk mendalami autisme dengan lebih mendalam.
Pengunjung dapat mempelajari mengenai diagnosis yang tepat, cara pengendalian, pentingnya mendaftarkan anak-anak dengan autisme, serta mengenal pasti arah tujuan kumpulan sokongan untuk memperkuat golongan ini di Sarawak menerusi program ini.
Sumber: BERNAMA