
Muhammad Zamzuri Zaini yang lebih dikenali sebagai Ayau, bekas wartawan Melodi di TV3 telah meninggal dunia pagi ini semasa menunggu jenazah ibu mentuanya.
Menurut bekas isterinya, Alita Aris, Ayau yang berusia 50 tahun ketika itu berada di Masjid Al Muhajideen, Damansara Utama ketika mengalami serangan jantung. Beliau kemudiannya dibawa ke Hospital KPJ Damansara.
“Muhamad Zamzuri Zaini (Ayau) sudah kembali ke Rahmatullah lebih kurang 10 pagi tadi. Ayau berada di Masjid Al Mujahideen, Damansara Utama, sedang menunggu jenazah ibu saya untuk disolatkan dan tiba-tiba pengsan, dipercayai mengalami serangan jantung. “Kami membawanya ke Hospital KPJ Damansara, dan doktor sudah cuba menyelamatkannya selama lebih kurang 20 minit, tetapi gagal.
“Doktor percaya jantung Ayau sudah berhenti ketika di masjid lagi,” katanya.
Jenazah akan dihantar ke Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permai, Ampang.
Alita yang masih sibuk menguruskan pengebumian ibunya belum dapat menentukan waktu pengebumian Ayau. Beliau akan berkongsi maklumat terkini selepas ini.
