Tempatan

Malaysia lancarkan Program Repatriasi Migran, galak PATI pulang secara sukarela

Gambar fail – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA: Program Repatriasi Migran dilaksanakan bermula hari ini sehingga 31 Disember depan, bertujuan membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal secara sukarela.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu sekaligus mengurangkan jumlah keberadaan PATI di Malaysia, di samping mengimbangi elemen keselamatan serta menjana ekonomi negara.

“Melalui program ini, pengecualian pendakwaan diberikan kepada PATI yang hadir serah diri untuk pulang ke negara asal mereka. Setakat jam 12 tengahari hari ini, seramai 848 orang PATI sudah merdaftar untuk menyertai program Repatriasi Migran.

“Pendaftaran dan pelaksanaan Program Repatriasi Migran dikawal selia Jabatan Imigresen Malaysia sepenuhnya dengan perincian lanjut mekanisme pelaksanaan oleh Jabatan. Semua pihak perlu mengambil perhatian bahawa pelaksanaan program ini tidak melibatkan mana-mana pihak ketiga.

“Jika ada mereka yang mahu menggunakan perkhidmatan ejen, lupakan. Kerajaan tidak akan melayan sebarang permohonan dari pihak ketiga atau ejen,” tegasnya dalam sidang media di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, PATI yang menyertai program Repatriasi Migran ini tidak akan disiasat atau diambil tindakan oleh Jabatan Imigresen walaupun memasuki Malaysia tanpa pas yang sah, tinggal lebih masa di negara ini atau melanggar syarat pas lawatan yang sebelum ini dikeluarkan kepada mereka.

Beliau berkata, dalam merencanakan pengurusan pekerja asing negara, kerajaan bertindak berpandukan empat komponen utama yang berfokus kepada merendahkan kos migrasi pekerja asing, mempercepatkan proses kemasukan, memastikan kebajikan pekerja dan kepentingan majikan terpelihara.

Katanya, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa bersama Menteri Dalam Negeri Dan Menteri Sumber Manusia mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-10 Bil. 1/2024 yang diadakan pada 16 Januari lalu, kedua-dua kementerian bersama Agensi Kawal Selia (AKS) berkaitan telah menilai semula keperluan sebenar industri yang dibaca bersama unjuran keperluan tenaga kerja negara dan senario semasa, seterusnya membuat pertimbangan keperluan kuota penggajian pekerja asing.

“Jemaah Menteri pada 15 Februari lalu berpuas hati, baki kuota penggajian pekerja asing sektor formal yang masih aktif dan telah dibayar levi tetapi masih belum diterbitkan Visa Dengan Rujukan (VDR) pada 31 Mac tahun ini akan dibatalkan dengan bayaran levi kuota dikembalikan kepada majikan.

“Justeru, tarikh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal yang baharu dengan VDR adalah pada 31 Mei tahun ini dan tiada lagi kemasukan pekerja asing sektor formal dari kuota yang aktif dibenarkan bermula 1 Jun 2024,” katanya.

Susulan itu, beliau menggesa semua majikan yang terkait dengan isu itu mempercepat kemasukan pekerja asing yang diluluskan dan masa sama memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat dan undang-undang perburuhan yang ditetapkan.

Saifuddin memberi jaminan, KDN akan melaksanakan dasar pemulangan levi yang lebih mesra majikan dan industri bagi memastikan proses pulangan berjalan lancar.

“Kerajaan membuat penambahbaikan signifikan kepada dasar dan proses pemulangan levi termasuk mengurangkan tempoh masa pemprosesan pulangan balik iaitu 53 kepada 28 hari bagi permohonan di peringkat kelulusan Ketua Pengarah Imigresen dan 77 kepada 38 hari bagi permohonan peringkat kelulusan Ketua Setiausaha KDN.

“Majikan dibenarkan membuat tuntutan pulangan balik bayaran levi pekerja asing selepas tempoh enam bulan sah laku Surat Kelulusan Bersyarat dengan keseluruhan baki kuota pekerja asing diserahkan semula kepada kerajaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian